 
                              IPOH  - Seorang pelajar Maahad Tahfiz al-Quran dan Hadis Al-Ansari,  Muhammad Ubaidillah Mohd Zamri, 12, tidak sempat menghabiskan laungan  azan Maghrib kerana terpaksa menyelamatkan diri dari dihempap pokok  kelapa dalam satu kejadian ribut.
Dalam kejadian pada jam 7.15 petang kelmarin, dia cedera di bahagian  muka akibat terkena serpihan siling yang pecah ketika berlari keluar  bersama 39 pelajar lain.
Menurutnya, dia bersama rakan-rakan berada di ruang rehat sekolah  berkenaan setelah ruang solat basah terkena tempias hujan lebat berserta  angin kuat.
“Ruang solat basah menyebabkan kami beralih ke ruang rehat. Kemudian,  ustazah mengarahkan saya supaya azan sebelum berbuka puasa bersama  pelajar lain.
“Ketika saya sedang azan, terdengar bunyi hentakan kuat menyebabkan sekolah kami bergegar dan siling mula runtuh.
“Kami berlari menyelamatkan diri dan ketika itulah saya rasa perit di muka,” katanya di sini, semalam.
Pengerusi sekolah berkenaan, Azhari Abu Hassan melahirkan rasa syukur  apabila semua pelajar dan tenaga pengajar terselamat dari kejadian ribut  itu walaupun sekolah berkenaan uzur.
“Rumah yang diwakafkan kepada kami akan dibersihkan secara  gotong-royong dan akan menempatkan sementara pelajar ini di rumah rakan.  Alhamdulillah semua mereka selamat,” katanya.
Sekolah berkenaan antara 24 rumah di Kampung Ulu Chemor yang mengalami  kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding akibat ribut yang melanda,  malam kelmarin.
Sementara itu, seorang mangsa, Nor Hisyam Mustafa, 42, ketika  menceritakan saat cemas bersama sembilan ahli keluarganya sempat berlari  keluar dan melaungkan azan apabila pokok durian berusia lebih 40 tahun  menghempap bilik tidur mereka.
“Saya terperanjat apabila seluruh rumah tiba-tiba bergegar dengan bunyi  angin kuat sebelum sebahagian bumbung bilik tidur tercabut.
“Tidak lama kemudian, pokok durian turut tumbang dan menghempap bumbung  bilik. Saya terus bingkas mencari ahli keluarga lain, kerana takut  berlaku kejadian lebih buruk,” katanya yang mengalami kerugian lebih  RM3,000.
Kejadian itu dianggap paling buruk pernah dialaminya.
 

 
0 comments:
Post a Comment