PERINGGIT – Hampir 50 pemandu bas henti-henti mogok tidak mahu memandu  bas, semalam, kerana tidak berpuas hati dengan gaji ditawarkan PM  Cultural & Tourism (PMCT) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kerajaan  Negeri yang mengambil alih operasi bas di negeri ini bermula, semalam.
Tinjauan Sinar Harian di Terminal Melaka Sentral di sini, seawal jam  6.30 pagi semalam mendapati, kebanyakan mereka hanya duduk beramai-ramai  dan tidak mahu memandu bas.
Hanya dilihat beberapa bas membawa penumpang ke terminal, selain  membawa pelajar, hasil ihsan pemandu bas selepas ramai ibu bapa merayu  meminta tolong menghantar anak mereka ke sekolah.
Rata-rata mereka berkata, selagi tawaran gaji pokok sebanyak RM510  sebulan tidak diteliti semula, mereka berkemungkinan akan meneruskan  mogok atau berhenti kerja.
Mereka mendakwa, pendapatan baru itu jauh lebih rendah daripada sebelum ini iaitu sekitar RM2,000 sebulan.
Kaji semula gaji pokok
Pemandu bas, M Selvam, 48, berkata, gaji yang ditawarkan hasil pengambilalihan operasi itu sangat murah dan tidak memadai.
“Kita mahu makan apa dengan wang RM510 sebulan? Sudahlah terpaksa  bangun jam 5 pagi dan kerja sampai ke malam, bawa nyawa orang lagi. Ini  memang tidak patut.
“Pagi ini (semalam), saya bawa bas pun kerana tidak sampai hati apabila  ibu bapa merayu minta tolong bawa anak-anak mereka ke sekolah,”  katanya.
Seorang lagi pemandu, Abdul Karim Said, 53, berharap. pihak PMCT akan segera mengkaji semula gaji yang ditawarkan untuk mereka.
“Kena ada keputusan muktamad. Kami diberitahu boleh dapat gaji sehingga  RM1,500 selepas campur pelbagai elaun. Tolong kaji semula gaji pokok  ini,” katanya.
Pemandu bas, Sabri Mohamad, 40, pula berkata, dia yang sudah hampir 15  tahun memandu bas berasa amat terkilan dengan bayaran gaji baru itu.
“Kita mahu kerja tetapi kaji semula gaji yang diberikan. Dahulu sekitar  RM2,000 kami boleh dapat tetapi kali ini memang susah sebab kos hidup  terlalu tinggi,” katanya.
Mahu bayaran elaun
Semalam adalah hari pertama operasi bas henti-henti di bawah PMCT  selepas Kerajaan Negeri mengambil alih 10 syarikat bas henti-henti yang  sebelum ini mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan akibat tidak mampu  menanggung kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.
Dalam pada itu, pemandu bas turut mengharapkan bayaran komisen  dimansuhkan dan digantikan dengan bayaran elaun berikutan pendapatan  antara bas adalah berbeza.
Terdahulu malam kelmarin, perkhidmatan bas turut tidak beroperasi  berikutan penyerahan kunci pihak pengusaha kepada PMCT, jam 6 petang  menyebabkan pemandu bas tidak bertugas.
Akibatnya, pengguna terpaksa menggunakan alternatif lain, termasuk menaiki teksi untuk ke destinasi ditujui.
0 comments:
Post a Comment