Oleh Dr Dzulkefly Ahmad,
Benarkah Najib akan
menemui ‘Peperangan Waterloo’nya dalam PRU ke-13 ini setelah berperang
kecil (skirmishes) termasuk 16 kali pilihanraya kecil (PRK) dalam sesi
parlimen ke -12 ini? Umum juga diingatkan bahawa kesemua PRK itu
berkesudahan dengan keputusan seri terikat 6-6.
Pilihanraya
Negeri (PRN) Sarawak pula (April 2011) menyaksikan undi popular Najib-BN
menurun sebanyak 8% (45%, 2011 – 37%, 2006). Tidak siapa yang sangsi
dengan penghakisan 8% kerajaan BN di PRU ke-13, akan bakal saksikan
tumbangnya diperingkat Persekutuan.
Maka cakap-cakap Najib semasa
berucap di musim Euro Final baru-baru ini untuk membelasah lawannya
dengan 14-0 hanyalah bersifat seorang General perang berkeinginan untuk
menyuntik semangat kepada bala-tenteranya meskipun sudah jelas
petanda-petanda awal kekalahan dalam pertempuran terakhir ‘grand royale
battle’ yang sengaja ditangguh-tangguhkannya.
Mutakhir, tidak ada
yang lebih mengerikan seorang General Perang yang di saat-saat akhir di
medan bertarung, mendapati Lieutenan-lieutenan atau Panglima-panglima
Perangnya ‘memberontak’ lantas meninggalkannya dan lebih parah lagi
apabila kini mahu bersama dengan gerombolan lawan dan seterunya. Hampir
sah tidak ada pilihanraya selepas Hari Raya ini.
Meskipun
kononya didakwa diketahui lebih awal lagi, pengumuman untuk keluar parti
dan BN, ahli parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan ahli
parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, juga seorang Timbalan Menteri
serta menyokong Pakatan Rakyat (PR) tetap satu yang menggempar dan
diluar jangkaan pelbagai pihak pengamat politik tanah air. Di segi
‘timing’nya ia amat menggugat kedudukan Najib yang sedang mencari-cari
tanda positif untuk pembubaran parlimen selepas hari raya ini.
Tambahan
Najib sedang berusaha untuk menubuhkan RCI – Suruhanjaya Pendatang
Tanpa Izin dan perdamaian atas isu pertikaian kepimpinan Ketua Menteri
dan adiknya. Amat sukar untuk beliau mencari penyelesaian terhadap
kedua-dua isu yang membakar ini sekaligus menjejas persepsi keutuhan
serta kawalan Najib terhadap politik Sabah. Lebih tepat lagi Najib sudah
kehilangan atau paling tidaknya ‘kekurangan’ ‘Simpanan Tetap’nya.
Persepsi
buruk terhadap ‘Janji Tidak Tertunai’ di negari Borneo ini juga
mencalar kepemimpinannya bersabitan kepimpinan Taib Mahmud di Sarawak.
Isu ini turut menghempit dan menghantui slogan “Janji DiTepati”nya.
Tambahan pulak dikatakan bahawa Taib akan terus kekal menjadi Ketua
Menteri Sarawak. Taib cukup memahami bahawa Najib sangat berhajat
sokongan dirinya dan tidak bersedia untuk berdepan dengan suasana tidak
menentu seperti di Sabah.
Kejutan buat Najib bukan kepalang
dan amat menyiksakannnya. Kembali menekannya adalah asakan tentang
pendedahan pelbagai ‘skandal kewangan’ yang melibat Ketua Menteri Sabah
Musa Aman. Perletakkan jawatan seorang Ketua Jabatan Komplian Global
HSBC semalam telah mencetuskan ‘expose’ urus-tadbir yang sarat dengan
rasuah transaksi balak dan pelbagai kegiatan ‘penyucian wang’ atau
‘money laundering’ di negeri terkaya tetapi punyai rakyat paling ramai
termiskin diseluruh Persekutuan Malaysia itu. Jumlah mencecah RM
trillion disebut oleh beliau dan ia ada hubungkait dengan KM Sabah ini
mengikut kenyataannya semalam.
Pertikaian tertangguh
melibatkan Peguam Negara Ghani Patail (dari Lahad Datu) yang sehingga
kini menghalang dakwaan rasuah membabitkan Anifah Aman dan Musa Aman
tentang rasuah balak juga turut merobek kepercayaan rakyat khasnya warga
dan pengundi Sabah.
Sementara itu, umum masih ingat kes bekas
pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli
Yusuf yang mendakwa Peguam Negara Abdul Gani Patail telah mempergunakan
SPRM memangsakan beliau dan pasukan penyiasatnya bersabit seorang lelaki
didakwa terlibat dalam jenayah terancang, termasuk dalam kegiatan
'Along', loteri haram, pelacuran dan juga pengedaran dadah.
Apa
pun, ‘Simpanan Tetap’ Najib yakni 55 kerusi parlimen dari 57 dari
Sabah-Sarawak (Borneo) telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan
mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini. Hari ini ramalannya ialah
14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan
akan bakal tumbang kepada Pakatan Pembangkang. Shafie Afdal yang menanti
peluang mengambil alih juga bergelut menangkis tuduhan terlibat dalam
‘skandal perhubungan’. Pun begitu ia tidak semudah didakwa sebab formula
kerjasama ‘pembangkang’ juga belum muktamad.
Tetap dirasai umum
bahawa kalau dulu Najib masih menaroh harap kepada kaum K-D-M dan Melayu
di Sabah kini sudah semakin tercalar dan hambar. Bukan sahaja Melayu di
Semenanjung sudah terbelah, kini juga di Borneo sementara kaum Cina dan
India terus tidak mahu kembali menyokong BN kerana sangat kecewa dengan
gelagat dan polisi Umno dan kuncu-kuncu NGOnya seperti Perkas dan Jeti
yang melampau.
Apakah maknanya buat Najib yang mengikut
kajian mutakhir Merdeka Centre bahawa ‘tahap keyakinan’ atau ‘Approval
Rating’ pada paras 64%, (Jun) menurun 1% dari bulan Mei (65%), sementara
tahap keyakinan kepada parti dan Barisan Nasional yang dipimpin terus
mengalami penghaksian sokongan ke paras 42%? Kesenjangan sokongan amat
ketara. Ramai juga yang masih ingat bahawa Pak Lah sebelum PRUke-12
mendapat ‘approval rating setinggi 71%.
Ada pakar-pakar Sains
Politik yang menyebutkan bahawa perubahan ‘turun-naik’ sehingga tahap 3%
itu tidak signifikan disegi perbezaan undi kerana julat kesilapan
(margin of error). Lebih penting lagi adalah ‘trend’ atau ‘pola’
penurunan yang jelas di alami Umno-BN yang mutakhir ini sangat ketara.
Kerajaan
Umno-BN ini yang kini merupakan kerajaan paling tua-lama memerintah
(longest serving government) di atas muka bumi ini (selain dari China
dan Vietnam – bukan demokrasi), rata-ratanya ditanggapi gagal mengisi
pengharapan rakyat setersunya. Kereputan ‘kerajaan lama’ ini adalah
akibat kehilangan kepekaan kepada rakyat yang setia mengangkat mereka
dalam setiap PRU.
Kegagalan menghayati cita-rasa dan kehendak
rakyat ini jelas dengan paling mutakhir cubaan untuk menggunakan slogan
“Janji Ditepati” untuk Hari Merdeka tahun ini. Kajian Sinar Harian
contohnya menunjukkan bahawa 86% mahukan slogan itu ditukar dan ditolak.
Hanya 14 % sahaja yang menyokong slogan tersebut.
Umno-BN
semacam hilang segala ‘sentuhan berbisa’ dan ‘tarikan’ yang satu masa
dahulu merekalah segala-galanya semasa zaman awal pasca-Merdeka. Mungkin
ketika itu memang mereka punyai kepimpinan yang berkorban untuk rakyat
atas nama Kebangsaan Melayunya. Tetapi tidak lagi kini. Pembolotan dan
kerakusan penguasa elit Umno-BN sangat menyerlah. NFC dan Felda lambang
kegagalan Umno kini. Ceramah bekas tokoh-tokoh Umno seperti Tan Sri
Kadir Sheikh Fadzil dan Tamrin Ghafar, adalah sangat tajam mendedahkan
‘kebobrokan’ dan ‘kerakusan’ kepimpinan Umno bermula era Tun Mahathir
sehingga Najib kini.
Najib juga begitu sudah kehilangan
stature ‘kenegarawanan’nya. Dia sudah terlalu ‘mikro’ dan kehilangan
arah perhitungan ‘besar dan makro’ terhadap permasalahan negara. Dia
terlalu sangat takut untuk hilang kuasa pemerintahan. Tidak ada slogan
yang inklusif dan menarik dan merentasi semua segmen rakyat seperti
“Bersama Membangunkan Negara Tercinta”.
Najib hanya mahukan
pujian dan pengiktirafan rakyat maka dia terus ‘memberi dan membeli’
undi rakyat – BRIM 1 dan kini bonus dsbnya. Kesemua untuk membuktikan
bahawa beliau peka dan prihatin kepada kesengsaraan rakyat. Pemangsaan
rakyat khasnya warga peneroka di Felda dalam jangka jauh dan Lynas di
Gebeng membuktikan sebaliknya. Malang!
Masa untuk berubah
telah sampai. Mampukah rakyat lakukan perubahan ini? Mampukah Pakatan
Rakyat mengisi pengharapan rakyat nanti? Apakah PRU ke-13 benar-benar
akan menjadi “Waterloo” Najib Tun Razak?
Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat.
Wednesday, August 1, 2012
‘Waterloo’ Najib bermula di Sabah?
Posted by Suhaimi at 3:44 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment