Siasatan awam pihak SUHAKAM ke atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman BERSIH 3.0 telah bermula sejak 5 Julai yang lalu. Sehingga kini, seramai 17 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dan pada minggu lepas (23 - 26 Julai), panel siasatan telah mengambil testimoni daripada 9 orang saksi.
BERSIH
2.0 berhasrat untuk membentangkan laporan ringkas berhubung testimoni
yang diterima daripada orang awam yang berani tampil ke hadapan sebagai
saksi. Berikut merupakan sebahagian daripada pelanggaran hak asasi manusia yang telah direkodkan sepanjang inkuiri berlangsung:
KEGANASAN POLIS
Tujuh daripada sembilan orang saksi menyatakan bahawa mereka telah diserang oleh polis dan kesemua sembilan saksi melihat anggota polis menyerang orang awam yang lain.
Malah seorang saksi memberitahu, polis mengarahkan sebuah restoran
A&W yang telah dikunci untuk dibuka bagi membolehkan mereka masuk.
Sebaik dibuka, polis masuk ke dalam dan terus mengasari serta menahan orang awam yang berada dalam restoran berkenaan.
SALAH LAKU POLIS
Selain daripada menyerang, polis juga berkelakuan amat ganjil dan sangat tidak professional. Salah seorang daripada saksi telah memberitahu panel penyiasat bahawa dia telah dihina secara perkauman oleh anggota polis yang menyerangnya. Rantai emas yang dipakai dia juga dirampas oleh polis berkenaan dan masih belum dikembalikan walaupun laporan polis telah dibuat.
Seorang saksi lain menyatakan bahawa dia melihat sebuah
kereta polis dipandu dalam keadaan laju melalui kawasan yang dipenuhi
dengan orang awam. Malah terdapat orang awam yang sedang duduk di
kawasan tersebut. Terdapat juga seorang saksi yang memberitahu bahawa anggota polis yang memukulnya memakai uniform yang hanya bertanda nama tetapi tidak memiliki nombor pengenalan polis.
PENGGUNAAN GAS PEMEDIH MATA SECARA MEMBUTA TULI
Terdapat beberapa anggota polis dan FRU yang melepaskan tembakan gas pemedih mata secara terus terhadap orang awam walhal mereka sepatutnya melepaskan tembakan dari jarak yang selamat bagi membolehkan peserta bersurai.
Seorang
saksi terpaksa menderita hilang penglihatan mata sebelah kiri akibat
terkena kelonsong gas pemedih mata yang ditembak dari jarak dekat. Dia baru sahaja bergraduasi dan telah kehilangan pekerjaan pertama akibat kecederaan yang dialami.
Beberapa saksi
lain menyatakan terlalu banyak gas pemedih mata dilepaskan di kawasan
sempit yang dipenuhi orang awam menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang
untuk menyelamatkan diri. Di awal inkuiri,
seorang saksi
memberitahu panel siasatan bahawa dia telah terkena kelonsong gas
pemedih mata di leher menyebabkan dia pengsan semasa kejadian.
MASA TIDAK MENCUKUPI UNTUK BERSURAI
Dua orang saksi memberitahu mereka ingin pulang ke rumah pada pukul 4 petang namun terhalang kerana stesyen LRT ditutup.
Keadaan ini menyebabkan mereka keliru dan memaksa mereka untuk duduk
di kawasan yang sarat dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan
meriam air. Pada waktu itu juga polis datang dan menyerang mereka.
SERANGAN KE ATAS KAKITANGAN MEDIA
Tiga orang wartawan telah memberi keterangan bahawa tag
media mereka telah diabaikan oleh pihak polis yang telah merampas
kamera mereka, mengarahkan mereka berhenti daripada membuat rakaman dan
menyerang mereka.
Seorang
wartawan yang berjaya melepasi due barisan kawalan polis telah ditumbuk
semasa berada ditengah-tengah benteng polis berkenaan. Polis juga
enggan menyerahkan semula kad memori yang dirampas daripada kameranya.
Salah seorang petugas media pula telah diberi
amaran oleh anggota polis agar tidak menangkap gambar dan anggota polis
berkenaan cuba merampas kamera serta menendang tag media dia bagi
membolehkan dia ditangkap.
Dia
kemudiannya bertanya arah kepada anggota polis berkenaan namun anggota
berkenaan memberi amaran kepadanya dengan mengatakan "Kalau aku nampak kau lagi, aku akan tangkap kau."
Petugas media yang ketiga memberitahu panel inkuiri semasa dia sedang duduk di tepi jalan, dia melihat OCPD Dang Wangi sedang memberi arahan kepada sekumpulan anggota polis dengan menggunakan heler, namun dia tidak dapat mendengar arahan tersebut.
Setelah itu, kumpulan anggota
polis tersebut bersurai dan mula menyerang peserta himpunan secara
rawak. Tiba-tiba, tujuh atau lapan orang anggota polis datang ke
arahnya dan menyerangnya secara berterusan walaupun dia menjerit
memaklumkan dia adalah petugas media.
KELAKUAN ANGGOTA POLIS YANG TIDAK KONSISTEN
Di sebalik ribuan peserta yang dibenarkan untuk memakai baju kuning, seorang
saksi memaklumkan dia diminta oleh oleh pihak polis untuk menanggalkan
baju kuning yang dipakainya dan terpaksa pulang ke rumah tanpa kemeja T.
Setakat ini, siasatan
yang dijalankan oleh pihak SUHAKAM menunjukkan terlalu banyak
pencabulan hak asasi yang telah berlaku ke atas peserta "Duduk Bantah"
BERSIH 3.0.
Siasatan ini akan diteruskan pada minggu ini dengan pendengaran seterusnya pada 1 dan 2 Ogos. Lebih ramai saksi akan dipanggil termasuk daripada anggota polis.
BERSIH
2.0 mengharapkan kebenaran akan dapat didedahkan sekaligus memberikan
cerita sebenar tentang apa yang telah berlaku pada 28 April 2012 apabila
250,000 rakyat Malaysia tampil untuk menuntut sebuah pilihanraya yang
bersih dan adil.
Keluar Mengundi, Lawan Penipuan!
0 comments:
Post a Comment