Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, May 22, 2012

Budaya setinggan di kejiranan rumah pangsa




BLOK 9 dan Blok 10 Program Perumahan Rakyat Termiskin Desa Mentari yang terletak berdekatan Jalan Klang Lama, Petaling Jaya itu kelihatan seperti tidak terurus.

Di bawah bangunan termasuk tempat letak kereta dan motosikal, tangga, koridor dan bumbung surau dipenuhi sampah sarap.

Grafiti di dinding dan kemudahan awam yang rosak akibat vandalisme mencacatkan lagi pemandangan selain bau busuk di bahagian tertentu koridor dan lif.

Penulis yang baru-baru ini berada di situ untuk melihat dari dekat kawasan kejiranan itu nyaris terkena plastik berisi sampah yang dibuang dari tingkat atas dan mendarat beberapa inci sahaja dari kepala penulis.
Kedua-dua blok 17 tingkat ini merupakan kediaman kepada kira-kira 6,000 orang.

Desa Mentari mempunyai 60 peratus penduduk yang terdiri daripada kaum Melayu dan bakinya kaum India. Kawasan kejiranan ini banyak menyaksikan pergaduhan. Kehidupan kedua-dua komuniti ini sentiasa diancam konfrontasi.

Perbalahan dan perkelahian antara dua kaum ini adalah sesuatu yang biasa berlaku. Punca masalah ini dapat dilihat daripada latar belakang penduduknya.

Penduduk Desa Mentari sebahagian besarnya berasal dari Kampung Medan dan Kampung Gandhi yang menyaksikan pergaduhan antara kumpulan masyarakat India dan Melayu pada bulan Mac 2001. Dalam kejadian itu, enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera
.
Walaupun kedua-dua pihak telah berdamai dan berpindah dari kawasan setinggan itu ke kejiranan yang lebih terurus, namun mereka masih membawa budaya lama.

Menurut Ketua Sayap Wanita Persatuan Penduduk Blok 10 Desa Mentari Noraini Nordin, 41, senario ini membayangkan budaya ketika mereka tinggal di rumah setinggan dahulu.

Tabiat penduduk setinggan

"Ketika tinggal di rumah setinggan, mereka mempunyai tabiat membuang dan mencampak sampah merata-rata di luar rumah, di parit dan sungai. Malah, mereka membawa budaya ini setelah berpindah ke Desa Mentari.



PENDUDUK Desa Mentari merupakan penduduk miskin bandar yang memerlukan perhatian.

"Kalau adakan gotong-royong bersihkan kawasan persekitaran, tak sampai setengah jam, sudah kotor semula," kata Ketua Wanita Persatuan Penduduk Blok 10 Desa Mentari itu.

Masalah sosial yang berlaku ketika tinggal di kawasan setinggan seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, penyalahgunaan dadah, mengganggu ketenteraman awam, kecurian motosikal dan pecah tingkap cermin kereta sudah menjadi budaya.


Lebih membimbangkan, apabila berlakunya pergaduhan antara kaum India dan Melayu yang berterusan hingga mencetuskan persekitaran yang tidak selesa dalam kalangan penduduk.

"Sentiasa ada pergaduhan di sini. Tak kiralah antara India dengan Melayu, atau Melayu dengan Melayu atau India dengan India," katanya.

Keadaan itu bertambah buruk apabila penduduk sukar bekerjasama, berpuak-puak mengikut fahaman politik yang menyukarkan mereka bersatu.

Memandangkan bilangan konflik antara kaum ini mencatatkan jumlah yang tinggi, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional mengisytiharkan Desa Mentari sebagai antara hot spot dian memerlukan perhatian.

Kajian Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM) berhubung pergaduhan melibatkan masyarakat India dan Melayu di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Medan mendapati ia bukan berunsur perkauman.

Tidak timbul isu benci membenci antara kaum Melayu dan India, sebaliknya tekanan hidup dan kemiskinan menyebabkan hubungan itu menjadi tegang jelas Profesor Dr. Fatimah Daud yang mengetuai kajian itu yang dijalankan pada tahun 2009.

Kajian itu bertujuan mengetahui punca konflik hubungan etnik di kawasan berkenaan berikutan banyak pergaduhan dilaporkan antara kedua-dua kaum itu.

Mengulas hasil kajian itu, Fatimah berkata, apa yang berlaku di kawasan Taman Medan adalah manifestasi masalah sosial yang berlaku di mana-mana kawasan setinggan di dunia.

Kemiskinan, masalah sosial, jenayah, dadah dan segala-galanya ada di sini memberi tekanan kepada kehidupan mereka.


LONGGOKAN sampah sarap hanya terbiar di tangga selain mengeluarkan bau busuk ia juga menyakitkan mata yang memandang.

"Mereka adalah penduduk miskin bandar yang memerlukan perhatian. Jika sebelum ini mereka tinggal di rumah setinggan tanpa bayar sewa rumah, tetapi apabila berpindah ke sini mereka perlu membuat bayaran bulanan kepada bank antara RM200 hingga RM300 sebulan.

"Bila tertekan, berlaku perkara kecil atau remeh pun, mereka cepat melenting, marah dan akhirnya bergaduh. Bukan sebab curiga atau masalah perkauman," katanya dalam satu temubual baru-baru ini.
Menurut Fatimah, rata-rata penduduk di Desa Mentari berpendidikan rendah. Mereka bekerja sebagai buruh, pemandu lori dan teksi, manakala mereka yang bekerja dengan kerajaan terdiri daripada kerani atau pekerja am rendah dengan pendapatan bawah RM1,500 sebulan.

Tekanan hidup

Kebanyakan keluarga, hanya bergantung kepada suami yang menjadi penyumbang kepada pendapatan keluarga dan isteri tidak bekerja.

"Setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya antara empat hingga 10 orang anak. Dengan pendapatan sebanyak itu, tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka. Ini yang menyebabkan ada anak yang tidak ke sekolah, tidak tamat persekolahan dan mereka kemudian meneruskan masalah sosial yang wujud di kawasan itu.

"Tekanan hidup juga menyebabkan mereka sentiasa tidak puas hati. Hilang toleransi. Walaupun telah berpindah ke PPRT, amat sukar untuk mengubah mentaliti dan aktiviti hidup mereka daripada masyarakat setinggan," katanya.

Menyedari apa yang berlaku di Taman Medan, perhatian yang khusus diberikan oleh Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi menanganinya.

Satu kajian menyeluruh sedang dijalankan oleh JPNIN dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melibatkan tujuh kawasan perumahan rakyat termiskin di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang bagi mengetahui konflik dan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan berkata: "Kajian itu masih di peringkat awal, dan masih mengumpul data supaya hasilnya dapat dibentangkan kepada kerajaan agar satu tindakan boleh diambil bagi membantu masyarakat yang tinggal di PPRT yang kebanyakannya bekas penduduk setinggan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada pemantauan yang dibuat oleh JPNIN, pergaduhan kerap berlaku di kawasan itu kerana pengambilan alkohol.

"Namun ia belum sampai ke peringkat mengancam keselamatan kerana apabila berlaku, pihak polis dan orang kami di JPNIN akan membantu menyelesaikannya.

"Kita tidak mahu ia berterusan begitu, sebab itu kajian yang dijalankan penting untuk merungkai satu persatu masalah yang berlaku kerana kita faham apa yang dilakukan kerajaan sebelum ini belum cukup untuk membantu masyarakat sebegini," katanya.

Selami masalah

Menurut beliau, dengan kepadatan penduduk di kawasan itu, banyak masalah dan rintihan yang timbul antaranya tempat letak kereta yang tidak mencukupi, pembuangan sampah yang tidak sistematik dan kekurangan tempat riadah yang menyebabkan mereka hidup tertekan.


VANDALISME mencacatkan pemandangan blok perumahan di Desa Mentari.

"Keadaan rumah yang sempit, hidup tertekan, bila ada yang buat hal sikit, terus melenting dan bergaduh. Inilah yang perlu kita lihat dan mencari penyelesaiannya," katanya.

Program Sayang Komuniti oleh Rukun Tetangga yang dilancarkan baru-baru ini cuba menyelami masalah yang berlaku di satu-satu kawasan terutama kawasan yang berisiko tinggi.

"Selain memberi kaunseling kepada ibu bapa, yang paling kita cuba tekankan membantu menyedarkan mereka akan pentingnya pendidikan bagi merubah kehidupan yang ada.

"Kita turut menganjurkan kelas tambahan secara percuma untuk membantu anak-anak yang bakal menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana kita tahu mereka tidak mampu untuk membayar kelas tambahan di luar," katanya.

0 comments: