Sekumpulan seniman bebas menyampaikan penghargaan kepada pengerusi
bersama BERSIH, Datuk A Samad Said atas pengorbanan yang ditunjukkan
Sasterawan Negara itu dalam membela hak rakyat.
Pemimpin utama
Kumpulan Kartunis Independen, Zunar berkata anugerah Seniman Rakyat itu
diberikan atas pengorbanan tenaga, minda, bakat dan titik peluh oleh A
Samad.
"Hari ini kami, Kumpulan Kartunis Independen mengiktiraf
seorang seniman, budayawan yang mengabdikan karya-karyanya demi membela
rakyat, demi membuka mata rakyat dan sentiasa berjuang di garis depan
membimbing rakyat.
"Beliau tidak mengharapkan darjat dan
kebesaran malah sanggup menempuh rintangan biar berdepan dengan
kekuasaan dan hujung senapang demi sebuah prinsip dan kehormatan sebagai
manusia," katanya.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar
ulHaque berkata tidak memadai sekiranya seorang seniman hanya berjaya
menghasilkan karya seni demi keuntungan peribadi tetapi mengabaikan
penderitaan rakyat di sekeliling.
Seniman seharusnya mengabdikan
karya "untuk kepentingan rakyat terbanyak, membela rakyat tertindas dan
perakam denyut nadi rakyat," katanya dalam ucapan di satu majlis KKI di
Kuala Lumpur semalam.
Perhimpunan BERSIH 3.0 untuk menuntut
pilihan raya bersih dan adil yang dipimpin A Samad menarik kehadiran
sehingga 100,000 orang pada 28 April lalu.
Dalam ucapannya
selepas itu, A Samad turut memberikan semangat kepada kartunis dan
seniman supaya terus memperjuangkan kebebasan dan menjaga hubungan
dengan tuhan.
"Kalau ada halangan, rempuhlah kerana itulah maruah
seorang seniman," katanya yang turut menceritakan pengalaman beliau
mengadakan protes 'duduk bantah' di Kuala Lumpur.
Majlis ringkas itu turut diserikan dengan persembahan lagu Mentari Kuning, Menyalalah yang turut disertai Pak Samad dengan isterinya.
Sunday, May 6, 2012
Pak Samad digelar Sasterawan Rakyat
Posted by Suhaimi at 10:36 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment