Ekoran polemik mengenai pemansuhan PTPTN dan tawaran
pendidikan percuma yang dibuat KEADILAN dan Pakatan Rakyat, ada pihak yang cuba
menempelak kerajaan Pakatan Rakyat kononnya supaya yuran pengajian dihapuskan
di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik kerajaan negeri.
Hari ini, KEADILAN tampil dengan jawapan kepada hujah
tersebut dengan memberi contoh bagaimana penyelewengan dan ketamakan pimpinan
Umno yang mengambil kesempatan sepenuhnya dari dasar memperniagakan pendidikan yang
dibawa Umno menjadi punca yuran pengajian yang tinggi dan membebankan pelajar.
Salah sebuah institusi utama yang dimiliki Kerajaan Selangor
adalah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Pada tahun 2007, sebuah syarikat
bernama Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) telah dianugerahkan kontrak untuk
membina asrama dan pusat pelajar bagi menampung keperluan 6,000 pelajar KUIS.
Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Selangor
pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo menetapkan bahawa RRSB akan diberikan konsesi
untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS.
RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Sulaiman Abdul
Razak, seorang pemimpin Umno Selangor yang juga ADUN Permatang.
Beliau memiliki saham sebanyak 7,200,000 saham bersamaan 51%
pegangan di dalam RRSB, sementara isteri beliau, Jamaliah Kamarudin pula
memiliki 800,000 saham bersamaan 6% pegangan. Baki 43% pegangan dimiliki oleh
Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan
sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.
(Sila lihat carian
syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang dilampirkan sebagai
bukti pegangan saham)
RRSB disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor di bawah
Umno. Malah, Dato’ Seri Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman
sebanyak RM125.8 juta di antara RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007
untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini.
(Sila lihat keratan
akhbar BERNAMA bertarikh 3 Ogos 2007)
Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri
Holdings Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. Dalam Laporan Tahunan
2006, Bina Puri Holdings Bhd melaporkan telah mendapat kontrak berjumlah RM96.1
juta untuk membina asrama dan pusat pelajar, yang dianugerahkan oleh RRSB.
Malangnya, dengan kos hanya sebanyak RM96.1 juta, RRSB yang
dimiliki ADUN Permatang ini telah dianugerahkan konsesi asrama pelajar KUIS
oleh kerajaan Umno di bawah pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo selama 33 tahun pada
kadar tahunan RM15.4 juta setahun.
Maka, bagi sepanjang tempoh 33 tahun, RRSB milik ADUN
Permatang akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta walaupun kesemua
urusan hanyalah “atas angin” dan kosnya sekadar berjumlah RM97 juta sahaja
iaitu keuntungan 524%.
Konsesi sewa asrama yang mahal dan berat sebelah ini
membebankan pengurusan KUIS. Anggaran kadar sewa yang dikira berpatutan adalah
lebih separuh dari kadar sekarang, iaitu sebanyak RM6 juta setahun.
Oleh kerana terikat dengan konsesi sewa asrama yang berat
sebelah dan dimeterai semata-mata untuk menguntungkan pimpinan Umno, maka
sehingga kini KUIS tidak dapat menurunkan yuran apatah lagi menanggung yuran
secara percuma.
Pada prinsipnya juga, kerajaan Selangor di bawah Pakatan
Rakyat tidak wajar menanggung yuran selagi konsesi berat sebelah berbau
penyelewengan dan rasuah ini tidak ditamatkan serta merta. Jika yuran
ditanggung, ia bermakna mengkayakan lagi pemimpin Umno yang sudah jelas
bermewah atas kesengsaraan rakyat.
Oleh itu, saya mencabar supaya pimpinan Umno mengarahkan YB
Sulaiman Abdul Razak menarik diri dari konsesi itu dengan sukarela agar kadar
sewa asrama lebih adil dan tidak menindas pelajar di KUIS, sebelum pimpinan
Umno ghairah menuding jari mendesak kerajaan Selangor melaksanakan pendidikan
percuma. Seperti yang ditegaskan KEADILAN, jika rasuah dan penyelewengan
dibanteras, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk menyediakan pendidikan
percuma.
0 comments:
Post a Comment