Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, February 6, 2010

Gear klac berkembar


SISTEM gear klac berkembar (dual clutch) bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan peminat automatif hari ini.

Sistem gear seperti itu lazimnya dikaitkan dengan kereta berprestasi tinggi yang memerlukan pertukaran gear yang pantas agar momentum kereta tidak terencat ketika sedang memecut.

Seperti namanya, sistem gear klac berkembar mempunyai dua set klac berbanding satu pada kotak gear manual yang biasa. Sebuah klac digunakan untuk gear bernombor genap manakala sebuah lagi untuk gear bernombor ganjil.

Ia seperti mempunyai dua set kotak gear yang bekerja sebagai satu. Satu lagi keistimewaan kotak gear itu ialah ia boleh digerakkan dalam mod automatik atau secara manual. Gear boleh digunakan secara manual tanpa menggunakan klac kaki sebaliknya dengan sistem hidrolik elektro yang menggerakkan klac bagi menukar gear.

Walaupun ia boleh dianggap teknologi yang baru, namun hakikatnya ia telah difikirkan secara teori sejak sebelum Perang Dunia Kedua oleh seorang saintis dan jurutera dari Perancis, Adolphe Kegresse.

Beliau terkenal dengan rekaan jentera half-track yang banyak digunakan sewaktu Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, beliau tidak sempat membina prototaip dan rekaan beliau hanya tinggal di peringkat konsep.

Pada era 1980-an, teori asas sistem klac berkembar itu dimajukan oleh syarikat Porsche untuk kereta perlumbaan mereka. Kotak gear itu berjaya dimajukan apabila sistem komputer untuk menggerakkannya kini sudah kecil dan boleh dimuatkan di dalam kenderaan tanpa memberi kesan terhadap berat jentera.

Kotak gear berkenaan dikenali sebagai Porsche Doppelkupplungsgetriebe atau dipendekkan sebagai PDK. Porsche menggunakannya pada model 956 dan 962 untuk perlumbaan Le Mans pada tahun 1983. Pihak Audi juga ada menggunakan kotak gear dari Porsche itu untuk kereta rali mereka iaitu Audi Sport Quattro S1.

Satu ciri penting kotak gear jenis itu ialah ia tidak menggunakan alat torque convertor seperti yang digunakan pada kotak gear automatik konvensional. Ia menggunakan sistem dua klac berasingan yang dilincirkan dengan minyak pelincir daripada enjin bagi menggantikan torque converter.

Klasifikasi klac

Dalam erti kata lain, gear itu mempunyai sedikit persamaan dengan sistem klac yang digunakan pada motosikal. Klac yang dilincirkan dengan minyak pelincir enjin itu diklasifikasikan sebagai jenis basah. Ada juga kotak gear jenis itu yang tidak memerlukan bantuan minyak pelincir dan ia diklasifikasikan sebagai jenis kering.

Kotak gear klac berkembar jenis basah direka untuk digunakan pada enjin yang mempunyai daya tork yang tinggi, iaitu melebihi 350Nm. Minyak pelincir dialirkan kepada klac bertujuan untuk menyejukkan klac. Sebagai contoh, kotak gear yang digunakan oleh Bugatti Veyron mampu menampung beban tork sehingga 1250Nm.

Untuk jenis kering, kotak gear itu lazimnya digunakan pada kereta yang mempunyai tork di bawah 250Nm. Kelebihan jenis itu ialah ia lebih baik dari segi penjimatan bahan api kenderaan kerana enjin tidak perlu bekerja lebih keras mengepam pelincir ke kotak gear.

Secara asasnya, sistem klac berkembar menggunakan dua jenis saiz klac berbeza yang disusun secara sejajar.

Untuk menggerakkan gear bernombor genap (gear 2, 4 dan 6) sebuah klac bersaiz besar digunakan, manakala untuk gear ganjil (1, 3 dan 5) klac lebih kecil dipasang bersama.

Gear itu mampu bertukar tanpa banyak kehilangan momentum dengan menggunakan daya tork daripada enjin itu sendiri untuk memberi tekanan pada satu klac sewaktu satu klac lagi dilepaskan daripada tekanan.

Memandangkan seleksi gear telah dipertanggungjawabkan pada klac yang tersendiri, proses pertukaran gear mampu dilakukan dengan pantas berbanding dengan sistem klac tunggal yang digunakan pada kotak gear jenis automated manual transmission atau AMT (sama digunakan pada Proton Savvy AMT).

PORSCHE membangunkan klac berkembar pertama untuk kereta perlumbaan mereka.


Untuk kereta penumpang


Pertukaran gear yang lebih lancar membuatkan kotak gear tersebut semakin popular untuk kereta penumpang dan tidak lagi terhad kepada kereta super.

Kereta penumpang pertama yang menggunakan kotak gear jenis itu ialah Volkswagen Golf R32 Mk4 pada tahun 2003. Walaupun bukanlah sebuah kereta keluarga yang sebenar kerana menggunakan enjin 3.2 liter V6, namun ia adalah permulaan kepada penggunaan klac berkembar untuk kereta penumpang.

Walaupun Porsche merupakan pelopor sistem gear itu, kini banyak pembuat kotak gear dunia telah menghasilkan kotak gear klac berkembar mereka sendiri untuk dipasarkan kepada syarikat pembuat kereta.

Antaranya termasuklah syarikat Borg Warner yang menghasilkan kotak gear DSG yang digunakan Volkswagen Golf GTi dan Nissan GT-R yang terbaru.

Satu lagi nama besar dalam dunia kotak gear ialah Getrag yang menghasilkan kotak gear untuk Ferrari, BMW, Mercedes dan Mitsubishi Lancer Evo X.

Lain-lain syarikat ialah Ricardo, Graziano, LuK dan ZF yang masing-masing mempunyai reka bentuk kotak gear jenis tersebut untuk pelbagai aplikasi.

Dilaporkan, Renault juga sedang menghasilkan model kenderaan penumpang yang menggunakan teknologi tersebut dan besar kemungkinan untuk model Megane yang terbaru.

Agak menarik ialah Lotus, syarikat milik penuh Proton baru-baru ini telah menyerahkan paten untuk sebuah kotak gear klac berkembar yang lebih kecil, ringan dan mudah.

Kotak gear itu bakal mempunyai lapan gear hadapan dan satu gear undur. Adakah kotak gear tersebut akan digunakan pada model Proton satu masa kelak?

Hanya masa akan menentukannya.

Sumber : Kosmo

0 comments: