Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, February 2, 2010

MB Perak: Mahkamah Persekutuan putuskan 9 Feb


Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 9 Februari depan kes pertikaian berhubung siapakah menteri besar Perak yang sah.

Ketika dihubungi, peguam Nizar mengesahkan keputusan tersebut akan diumumkan pada tarikh tersebut. Mereka menerima faks dari pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai perkara itu pagi ini.

Kes tersebut didengar oleh panel lima hakim yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Panel tersebut menangguhkan kes tersebut pada 5 November tahun lalu selepas mendengar hujah kedua pihak.

Sebelum ini, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Pada Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pertikaian bagi jawatan menteri besar Perak bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS dan memberikan sokongan kepada BN pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang menteri besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.

Sumber : MalaysiaKini

0 comments: