Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, February 2, 2010

Tabung penyelenggaran 1Malaysia dilancarkan


Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM37.6 juta untuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia disediakan bagi tujuan penyelengaraan rumah kos rendah milik swasta, terutamanya rumah flat, di bandar raya ini.

Mengumumkan peruntukan itu semasa melancarkan sambutan dan festival Hari Wilayah Persekutuan 2010, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM20 juta, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar RM5juta, Dewan Bandar Kuala Lumpur (DBKL) RM10 juta dan firma swasta RM2.6 juta.

Sambutan dan festival itu diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan secara serentak bagi ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Najib berkata peruntukan itu adalah untuk melaksanakan antara lain penyelenggaraan lif, kerosakan bumbung, mengecat bangunan dan pelbagai kerosakan umum yang lain.

Bagaimanapun, pembiayaan bagi membaik pulih rumah dan flat kos rendah ini akan dikeluarkan melalui geran padanan, dengan kerajaan akan mengeluarkan peruntukan yang sama dengan jumlah peruntukan yang dihasilkan oleh badan pengurusan bersama bangunan berkenaan.

"Kita akan bekerjasama dengan joint management corporation (perbadanan pengurusan bersama) dan akan menetapkan geran padanan. Jika joint management corporation keluar RM100,000, kerajaan akan keluar RM100,000.

"Dengan ini tanggungjawab itu didokong bersama penghuni flat dan kerajaan. Jika penghuni menyumbang, mereka akan memainkan peranan menjamin keadaan (flat dan rumah yang dibaik pulih) dapat dipertahankan," katanya.

Perdana Menteri berkata jika bantuan kewangan itu diberikan percuma, penghuni rumah atau flat kos murah swasta itu akan lepas tangan, dan usaha membaik pulih rumah-rumah terbabit tidak dapat dipertahankan.

Najib berkata sambutan terhadap penjualan 44,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan perumahan awam (PPA) DBKL setakat ini menggalakkan dengan 25,000 penghuni PPR dan PPA bersetuju menerima penjualan unit rumah itu.

Kerajaan telah memperuntukkan RM250 juta untuk penyelengaraan rumah-rumah PPR, PPA dan "usaha kita tidak akan terhenti setakat ini," katanya.

Najib juga berkata beliau akan meneruskan aktiviti tinjauan mesranya di Kuala Lumpur dengan bercadang untuk melawat Kampung Baru bagi membincangkan pelan pembangunan kampung itu yang telah terhenti sekian lama.

Beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan hasil lawatannya ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, terutama Terminal Bas Puduraya yang kini telah berubah wajah dengan prasarana lebih baik di mana ruang menunggu berhawa dingin setanding dengan sesetengah lapangan terbang.

"Cabaran bagi kita ialah untuk terus membangunkan Kuala Lumpur supaya Kuala Lumpur merupakan sebuah metropolitan yang menjanjikan kemudahan terbaik setanding dengan kota raya dan metropolitan yang lain," katanya.

Sumber : Bernama

0 comments: