Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, February 8, 2010

Jangan Lebih Lajak Daripada Laju

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Setiap insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadang-kala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi.

Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa. Bak kata Nabi s.a.w:

“Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang.

Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus. Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian. Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

Dosa Pahala

Hanya Allah dan rasulNya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli nereka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu.

Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah. Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya. Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa.

Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain.

Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me’neraka’ seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me‘neraka’kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan. Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah.

Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini.

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari)

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan RasulNya?. Tidakkah Rasulullah s.a.w sendiri bersabda:

“Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).


Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasulNya. Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya. Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya.

Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasulNya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum muslimin dihina dan dianiayai. Ya, Rasulullah s.a.w melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan ‘terlebih lajak daripada laju’.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seeorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian.

Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda :

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).


Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

Rahsia

Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya.

Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang-orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah. Demikian mereka yang ditetapkan nereka oleh Allah dan rasulNya seperti Iblis, syaitan, Fir’aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.

Orang yang Allah dan rasulNya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus. Urusan setiap insan dengan Tuhannya.

Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat redha, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.

0 comments: