Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, February 2, 2010

Wang Ihsan Sepatutnya Terus Ke Kerajaan Negeri.

Sebarang bayaran wang ihsan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) oleh Petronas adalah tidak sah dan tidak wajar kerana perjanjian yang ditandatangani adalah di antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri.

"Ia adalah satu kesalahan serius dan Petronas dianggap memungkiri perjanjian di bawah Akta Petroleum 1974," demikian ditegaskan oleh seorang pensyarah Undang-undang IPTA semalam.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan kerajaan Umno-BN mencarik peradaban prinsip demokrasi terhadap kerajaan negeri jika pemberian wang ihsan mahupun royalti disalur melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Beliau menyelar kaedah tersebut jelas menggambarkan sikap diskriminasi kerajaan pusat bukan sahaja menganaktirikan kerajaan negeri malah menganiaya demi kepentingan politik.

“JPP adalah agensi kerajaan pusat. Sedangkan royalti adalah milik kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam perjanjian.

"Petronas sepatutnya membayar royalti secara langsung kepada kerajaan negeri.

“Akta Kemajuan Petroleum sudah jelas, royalti menjadi hak mutlak Kelantan. Maka tiada sebab nak dinafikan,” katanya semasa ditemui.

Menurutnya, justifikasi segelintir menteri Umno yang khuatir dari segi pengurusan kewangan oleh kerajaan negeri sekiranya wang tersebut disalurkan terus kepada kerajaan negeri hanya satu retorik tidak berasas sama sekali.

Tegasnya, perkara asas paling utama adalah hak sesebuah negeri itu dalam menerima hasil daripada perjanjian yang dibuat, bukan soal pengurusan atau kelayakan.

“Kalau nak pertikai soal bijak atau tidak, contoh sudah ada. Semua rakyat sudah nampak.

"Di Terengganu stadium bernilai ratus juta ringgit tiba-tiba runtuh.

“Begitu juga stesyen bas, masjid, termasuk hospital yang tidak dapat diguna selepas dibina oleh kerajaan persekutuan.

“Secara logiknya kejadian tersebut menunjukkan berlakunya salah guna kuasa ataupun tidak menguruskan kewangan dengan baik. Jadi di mana bijaknya kerajaan persekutuan?” soal Che Abdullah.

Sementara itu UMNO menyedari tanpa restu kerajaan negeri Kelantan, wang ihsan itu tidak akan boleh dileaskan oleh Petronas, maka dengan itu UMNO masih berharap Kerajaan Kelantan menerima tawaran menyertai Jawatankuasa Pengurusan Wang Ihsan.

Peluang itu masih lagi terbuka buat kerajaan negeri untuk menyertainya demi masa depan rakyat secara keseluruhan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu memikirkan secara serius penolakan itu kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat Kelantan yang sememangnya mahukan pembelaan dan pembangunan.

"Tawaran untuk sertai jawatankuasa ini masih terbuka buat kerajaan Kelantan dan jika masih menolak ia akan merugikan rakyat Kelantan.

"Kalau ada wakil kerajaan negeri, wakil itu boleh menentukan keutamaan dalam sektor tertentu untuk membelanjakan wang ihsan yang akan diterima pada Mac ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertemuan Dengan Pengetua Kelantan di sini, Isnin.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bertegas kerajaan negeri yang diketuainya itu tidak akan menerima pelawaan menyertai jawatankuasa berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pemberian wang ihsan yang bukannya royalti petroleum.

Nik Abdul Aziz berkata wang ihsan seharusnya dibayar kepada kerajaan Pusat kerana Kuala Lumpur tidak mempunyai rizab minyak dan bukan sebaliknya.

Bercakap di satu ceramah di Negeri Sembilan semalam, Nik Aziz berkata konsep wang ehsan yang diterima-pakai pemerintah BN bukan sahaja wajar, bahkan tidak masuk akal.

“Minyak Kelantan untuk Kelantan. Kuala Lumpur tidak ada minyak setitik pun. Kuala Lumpur sendiri tidak ada minyak. Dia ambil minyak kita, dia beri ihsan kepada kepada kita. Sepatutnya kita beri wang ehsan kepada dia (Kuala Lumpur)." ujar Nik Aziz.

Nik Aziz menjelaskan tindakan Umno-BN menyekat pemberian royalti minyak kepada rakyat Kelantan menunjukkan pemerintah meletakkan keutamaan pada wang ringgit, bukan rakyat.

“Kelantan miskin. Dari dulu sampai sekarang miskin. Tapi manusia undi PAS. Daripada 45 kerusi di Kelantan UMNO hanya baru dapat 6 kerusi. PAS miskin. Perkara-perkara sebegini tolong kirim salamlah kepada UMNO biar dia faham sikit” katanya lagi.

Sumber : Kelab GB

0 comments: