Syeikh Abdullah Khatib adalah seorang ulama’ Mesir dan merupakan salah seorang anggota Maktab Irsyad jemaah Ikhwan Muslimin di Mesir. Dilahirkan pada 26 Februari 1929 di wilayah Sohaj. Seorang lulusan Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar dan mempunyai tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Pernah bekerja di Libya selama 11 tahun (1977-1988) dan di Emirate selama lima tahun. Beberapa kali bermusafir ke Amerika Syarikat, German, Itali, United Kingdom dan Perancis untuk memenuhi jemputan beberapa muktamar dan nadwah. Sering juga ke Algeria, Sudan, Yaman, Syria dan Turki untuk beberapa urusan dakwah.
Menjadi anggota Ikhwan Muslimin pada tahun 1950 ketika berusia 21 tahun. Aktif di dalam dakwah sejak berada di alam universiti. Pada Ogos 1965, beliau dipenjarakan oleh rejim Jamal Abdul Nasir selama 10 tahun. Kemudian pada 1981, sekali lagi dipenjarakan di zaman Anwar Sadat selama enam bulan. Dilantik menjadi anggota Maktab Irsyad Ikhwan pada tahun 1990.
Beliau adalah seorang ulama’ yang telah menulis lebih dari 40 buah buku. Di antara tulisannya yang terkenal di Malaysia adalah Pandangan Semula Terhadap Risalah Taalim. Di dalam buku ini, beliau menilai kembali pandangan Hasan al-Banna terhadap rukun Bai’ah Ikhwan Muslimin berdasarkan neraca syara’. Sewaktu saya belajar di Mesir, ada rakan-rakan yang memberitahu saya bahawa Syeikh Abdullah Khatib adalah di antara rujukan utama Dr. Yusof al-Qardhawi di dalam fatwa-fatwa beliau.
Fatwa Solat Di Dalam Kapal terbang
Soalan:
Sahkan solat seseorang yang menunaikan solat di dalam kapal terbang secara duduk dan tanpa menghadap kiblat?
Jawapan dari Syeikh Abdullah Khatib:
Fuqaha’ menetapkan bahawa solat di atas kapal, di dalam keretapi dan kapal terbang adalah sah berdasarkan keadaan yang mampu dilakukan oleh si musafir. Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang solat di atas kapal, Baginda s.a.w. menjawab: “Dirikanlah solat berdiri kecuali jika kamu takut tenggelam.” (Al-Hakim atas syarat Muslim)
Dengan itu adalah sah solat dengan duduk dan tanpa menghadap kiblat kerana dia tidak mampu untuk menghadapnya di dalam kapal terbang. Di dalam hadis: “Apabila aku memerintahkan kamu melakukan sesuatu, lakukanlah berdasarkan kemampuanmu.” (Bukhari)
Sumber : Ustaz Muhammad Fauzi
0 comments:
Post a Comment