Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, June 6, 2010

Israel Ada Senarai Nama Yang Mahu Dibunuh Atas Mavi Marmara

"Tentera Israel mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal."

Itu pendedahan Ketua Misi Life Line For Gaza (LL4G), Noorazman Mohd Samsuddin berikutan penemuan beberapa bukti daripada tiga anggota komando Israel yang berjaya ditahan semasa insiden serangan tentera rejim Yahudi ke atas Mavi Marmara Isnin lalu.

Katanya, penggunaan peluru getah itu adalah alasan semata-mata kerana terdapat bukti komando rejim memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara.

"Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja.

"Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal. Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang-orang yang mereka mahu bunuh.

"Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa... tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak.

"Kami hanya orang biasa. Salah seorang media Turki yang ditembak memang ada di dalam senarai itu," ceritanya kepada pemberita bagi berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebaik tiba di tanah air awal pagi ini.

Kesemua 12 sukarelawan itu bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin.

Dalam pada itu Noorazman memberitahu, tiga rakan aktivis iaitu Abdul Halim Mohd Redzuan, Hasanuddin Mohd Yunus dan Jamuliddin Elias, telah ditembak dengan peluru getah di bahagian kepala, belakang dan paha.

Tambahnya, ketika serangan pada waktu Subuh itu, wakil media telah menunjukkan keberanian dengan terus merakamkan kejadian itu tanpa menghiraukan keselamatan mereka walupun ketika itu dihujani peluru.

"Ketika kami diserang selepas waktu solat Subuh, rakan media telah menunjuk keberanian dan kekuatan mereka tanpa menghiraukan perkara membahayakan mereka dengan peluru ketika itu seperti hujan.

"Mereka cuba merakam sebanyak mungkin untuk tujuan memberikan kesedaran dan maklumat kepada seluruh dunia."

Malah katanya seorang wartawan Indonesia yang dikenali sebagai Suria telah ditembak peluru hidup di dada kanannya.

Namun dalam keadaan kritikal itu beliau masih cuba mendapatkan maklumat- maklumat yang ada walaupun selepas itu maklumat itu telah dirampas.

Noorazaman amat mengharapkan bantuan media untuk menekan Israel bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan itu kepada penduduk Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kita harapkan rakan media yang ada dapat terus membantu usaha kita untuk membebaskan penderitaan yang dialami rakyat Palestin ini," ujarnya lagi.

Sumber : mStar Online

0 comments: