Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, February 28, 2011

Pilihan Raya Kecil : Seruan untuk pengundi Merlimau dan Kerdau

Oleh Nik Abdul Aziz Nik mat

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat

Salam Sejahtera.“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Maksud Al-Quran, al-An’am 6:162)

Sesungguhnya, segala puji-pujian kepada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pesuruh Allah pengakhir zaman.

Didoakan kepada semua pengundi, sanak-saudara dan kaum keluarga warga Dun Merlimau dan Dun Kerdau berada dalam selamat dan sejahtera dengan izin Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

Tuan-puan dan Saudara-saudari yang dihormati sekalian.

Bersempena dengan pilihan raya kecil N.27 Merlimau, Melaka dan N.28 Dun Kerdau, Pahang ini, saya dengan ini mengambil kesempatan untuk menyampaikan seruan ingatan kepada diri saya dan pengundi sekalian yang berkebetulan berlaku dalam bulan sambutan Maulidur Rasul 1432H.

Maka, ambillah pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat bukannya laknat kepada sekalian alam. Mengamalkan ajaran Nabi baik dari segi ibadatnya, mahu pun segenap urusan hidup (mauamalat) adalah pelengkap kepada mencapai keberkatan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, kita kena bergantung kepada Islam di dalam segala-gala segi perjuangan hidup.

Ajaran Nabi Muhammad SAW sendiri tidak menerima perjuangan atas nama bangsa Arab, yang diterima hanyalah perjuangan atas nama keimanan yang hakiki terhadap Allah, Rasul dan hari akhirat. Selari dengan firman Allah:

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Maksud Al-Quran, At-Taubah 9:19)

Justeru Islam mengutamakan iman bukannya perbuatan. Atas kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW inilah, maka setiap apa yang kita buat hendaklah berserta dengan niat yang tulus di atas dasar keimanan.

Oleh itu, menghadapi pilihan raya kecil ini, saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”

Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air. Ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan. Dan kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagi PAS di Kelantan, kejayaannya adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah (keyakinan kepada Tuhan), mas’uliah (penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat. Justeru itu, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama.

Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat terus berpegang teguh kepada agama. Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang:

“Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).”

Maknanya kerajaan Negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama––bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati. Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.

Justeru Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini. Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah––dinar emas dan dirham (sistem kewangan Islam zaman Nabi Muhammad SAW), dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam.

Tuan-puan dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.

Islam mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya. Setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS.

Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Oleh sebab amalan itulah, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini.

Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Maksudnya, kita hendaklah menerima Islam dan ke-Esaan Tuhan dengan tulus ikhlas. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun hendaklah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS. Malangnya, ajaran seperti ini tidak diajar oleh perjuangan sekular dan kebangsaan Umno. Oleh itu, terimalah sistem Islam yang sentiasa benar dan adil untuk semua kaum.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam–tidak tali kebangsaan) dan janganlah kamu bercerai-berai .”

(Maksud Al-Quran, Ali-Imran 3:102-103),

Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Maka, menolak perjuangan Umno-BN adalah satu tindakan betul yang sekaligus menolak perjuangan sekular dan kebangsaan.

Oleh itu, saya penuh yakin bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat, Haji Yuhaizad bin Abdullah (Dun Merlimau) dan Hassanuddin bin Salim (Dun Kerdau) adalah calon-calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi. Mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat.

Dengan ini saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi, terutamanya pengundi Melayu, Cina dan India, dan khasnya pengundi peneroka yang budiman lagi bijaksana, bersama-samalah kita mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat. Bulatkan hati, dengan lafaz ‘Bismillah...nama Tuhan yang Esa’ undilah Bulan pada hari Ahad, 6 Mac 2011 nanti. Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat dan jangan hiraukan ugutan dan sogokan pihak Umno-BN.

Selamat mengundi. Semoga dengan ‘sepangkah undi,’ tuan-puan dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat”

*PAS UNTUK SEMUA *

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan

merangkap Mursyidul Am PAS.


0 comments: