Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, February 14, 2011

Selangor perluas kempen anti zina, banteras gejala sosial



13 Feb Shah Alam- Rentetan kejayaan Kempen Anti Zina siri satu dan dua sebelum ini telah membuatkan kerajaan negeri Selangor meneruskan kempen tersebut sehinggalah isu gejala sosial yang melanda masyarakat dapat dibanteras, lapor TV Selangor.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sejak kempen ini diperkenalkan oleh kerajaan negeri, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak.

"Saya berasa amat gembira apabila diberitahu sambutan anti zina kedua yang diadakan pada malam sambutan tahun baru yang sama, amat menggalakkan, telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 5,000 sukarelawan," katanya.

Menurut beliau lagi, kempen seperti ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu beragama Islam dan bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam.

"Kempen anti zina ini bukanlah untuk mengganggu masyarakat bukan Islam tetapi adalah tanda amaran kepada umat Islam, dan ini bukan dianggap sebagai serbuan tetapi peringatan kepada orang Islam dan menjadi tanggungjawab mereka dalam mencegahnya," katanya.

Simbolik.

Beliau yang bercakap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Anti Zina Siri 3 yang diadakan di Dataran Shah Alam sebagai simbolik pelancaran ini Menteri Besar telah melepaskan sekumpulan konvoi yang disertai oleh 80 buah kereta dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi.

Kumpulan yang dianggarkan kira-kira 500 orang ini akan berpusing seluruh Shah Alam sebagai "tanda amaran" untuk memberitahu orang awam bahawa kempen ini telah bermula sambil membunyikan hon.

Kempen siri kali ketiga ini mempunyai 3 fasa, iaitu fasa pertama adalah majlis pelancaran oleh Menteri Besar, manakala fasa kedua pula akan bermula pada jam 8 malam hingga 2 pagi, melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada NGO yang diketuai oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor akan mengedarkan risalah mengenai bahaya zina kepada masyarakat.

Antara NGO yang terlibat adalah Briged Amal, Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Perkim (Selangor), Bakewanis dan lain-lain lagi.

Fasa ketiga bermula jam 2 pagi hingga 6 pagi, di mana akan menggempur beberapa lokasi dan premis yang telah dikenalpasti untuk diperiksa, kempen ini melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan, antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain jabatan yang berkaitan dalam penguatkuasaan.

Kempen Anti Zina merupakan salah satu aktiviti yang dirancang oleh Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang merupakan satu program khusus yang diwujudkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Khalid berkata kerajaan negeri sentiasa komited dalam menangani isu gejala sosial di Selangor apabila kempen seumpama ini dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mewujudkan persekitaran yang aman dan tenteram.

0 comments: