Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, February 1, 2012

Selepas DSZ, Proton bakal kehilangan Lotus

Sumber Arenakereta

Selepas menjadi pemilik Proton Holdings Berhad secara rasmi, DRB-Hicom sudah pastinya mahu menggerakkan segala perancangan dan strategi yang dirancang tanpa gangguan daripada mana-mana pihak. Antara sebahagian daripada permulaan rancangan tersebut ialah menggantikan Pengerusi Proton Holdings, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Pengarah Urusannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (DSZ).

Secara peribadi, saya tidak yakin bahawa DRB-Hicom akan terus mengekalkan pegangan terhadap Lotus Group, sebuah anak syarikat yang bermasalah kerana masih tidak mampu membawa pulangan dari segi keuntungan tunai sejak beberapa tahun lepas. Perkara tersebut sudah tentu dapat dirasai oleh Dany Bahar, CEO Lotus yang mempunyai nafsu besar untuk merealisasikan pelan lima tahun dengan kos di luar jangkauan. Sebelum ini Dany pernah membuat kecoh agar Lotus berada di bawah pengurusan baru selain Proton.

Menurut laporan London Sunday Times, terbukti ketika ini Dany Bahar memang sudah tidak serasi dengan Proton. Beliau dikatakan sedang sibuk mencari rakan kongsi yang mempunyai sumber kewangan besar yang sanggup menyuntik dana kira-kira 500 juta paun. Itu semua bagi membolehkan model terbaru seperti Elis, Elan dan Esprit dikeluarkan mengikut jadual sebelum berakhirnya tahun 2015. Saya percaya Dany Bahar tidak yakin DRB-Hicom akan membantu mereka, jadi tunggu apa lagi selain memulakan langkah mengangkat kaki?

Bagaimanakah agaknya keadaan Proton tanpa DSZ dan Lotus selepas ini? Saya bimbang jika Proton kehilangan keghairahan untuk mengeluarkan pelbagai model terbaru. Mengeluarkan model terbaru sepenuhnya memakan kos yang cukup tinggi, bermakna ada modal yang perlu dikeluarkan. Tetapi kalau sekadar menjadikan kilang moden Proton di Tanjung Malim sebagai hub-pengeluaran kereta berjenama Volkswagen, itu pasti lebih menguntungkan.

Proton di bawah DRB-Hicom perlu mempunyai keghairahan seperti syarikat Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Eropah dalam mengeluarkan pelbagai model terbaru, dan jangan memikirkan keuntungan semata-mata dalam jangka masa pendek. “Rebadge’, itu perkataan yang amat digeruni tetapi begitu sinonim dengan Proton. Kereta apa pula yang akan ditukar lencana selepas ini, Volkswagen? Jangan sampai nanti Proton dianaktirikan sudahlah demi kerana menjaga rakan niaga asing yang memberikan pulangan lumayan.

Saya menanti Proton baharu yang mengaum garang di pentas antarabangsa. Harapan kini terletak di bahu DRB-Hicom sepenuhnya, penuh berharap agar aspirasi seluruh rakyat Malaysia tidak akan dihampakan. Kalau langkah cantik, Proton akan menerima pujian menggunung. Tetapi kalau langkah sumbang, bersiap-sedialah menahan kritikan pedas. Sebagai rakyat Malaysia, kami mempunyai hak untuk melihat Proton menjadi sebuah syarikat yang berjaya dalam apa cara sekalipun, tiada kompromi.


0 comments: