Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, March 24, 2012

GST: Pengalaman Singapura

Oleh Dr. Rosli Yaakop

Di Singapura, cukai barangan dan perkhidmatan atau goods and services tax (GST) meruphttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEizLmRMP_wsOntH9YXcK5pqpY7GsxLkE08d98xUKgx0dLEeVMzzvDjBjb_H9RraiNF5r3ULTwNe25rZx3LgnqZVQf2wGxZNPP_cTAkb6KMSDvtNl85uXbj3u_edwzSW1EkkHdQyHDQU/s320/a3.jpgakan cukai nilai ditambah (value-added tax) berasas meluas (broad-based) dikenakan ke atas barangan import dan semua barangan dan perkhidmatan kecuali, pertama, jualan dan sewaan hartanah perumahan (tempat kediaman) dan kedua, perkhidmatan pembiayaan (financial services). Walau bagaimana pun, barangan yang dieksport dan perkhidmatan antarabangsa kadar cukainya sifar.

Ia adalah cukai berkadar rata (flat rate) berbanding cukai pendapatan yang kadarnya semakin tinggi bila pendaptan semakin tinggi.Kerana ia cukai ke atas penggunaan, maka dikatakan ia menggalakkan tabungan.
GST dilaksanakan di Singapura serentak dengan pelaksanaan “offset package” bertujuan meringankan kesan negatif GST ke atas isirumah, khasnya yang berpendapatan rendah.

GST diperkenalkan di Singapura pada 1 april 1994, iaitu, 18 tahun yang lalu. Kadar cukai yang dikenakan pada masa pelancaran ialah 3%. Kadar ini dikekalkan selama 9 tahun bersesuaian dengan janji kerajaan semasa pelancaran bahawa kadar itu tidak akan diubah sekurang-kurangnya selama 5 tahun.

Ia telah dinaikkan secara beransur-ansur selepas itu - ke 4% pada 1 Januari 2003, 5% pada 1 Januari 2004 dan 7% pada 1 Julai 2007.
Sebelum tahun 1986, kadar cukai pendapatan korporat ialah 40%. Begitu juga kadar cukai pendapatan perseoragan – ianya berkadar menaik dan bagi lingkungan pendapatan individu tertinggi (top marginal rate) kadarnya ialah 40%.

Kadar ini didapati tidak berdayasaing. Jawatankuasa Ekonomi tahun 1986 telah mencadangkan supaya Singapura mengubah dasar percukaiannya daripada pergantungan besar ke atas cukai langsung kepada cukai tidak langsung jika ia mahu menambahbaik dayasaing antarabangsanya bagi menarik pelaburan, melastarikan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan gunatenaga berpendaptan tinggi.

GST adalah cukai tidak langsung berasas meluas. Dengan penduduk tua semakin besar bilangannya di Singapura, asas cukai (tax base), di negara itu dijangka mengecil. Oleh itu GST perlu diperkenalkan bagi mengimbangi asas cukai langsung (direct tax base) yang semakin mengecil (golongan tua tidak membayar cukai langsung) dengan cukai tidak langsung.

GST membolehkan beban cukai diagihkan kepada lebih ramai penduduk. Pengenaan cukai tidak langsung (indirect taxes) melebarkan asas cukai sekaligus membolehkan cukai dipungut dari lebih ramai penduduk.

Kerana GST pada asasnya adalah cukai ke atas penggunaan bukai ke atas pendapatan, maka sesiapa yang menggunakan barangan dan perkhidmatan, mereka kesemuanya – tidak kira pendapatan rendah, sederhana atau tinggi, kaya atau miskin – masuk di dalam jaringan cukai ini. Itu sebabnya, GST kadangkala dikatakan sebagai “pukat harimau” – semua ikan, kecil atau besar, terperangkap dalam jaring.

Di dalam sistem cukai langsung (cukai korporat dan cukai pendaptan individu), hanya segolongan tertentu penduduk membayar cukai tetapi di bawah GST, tiada siapa boleh mengelak dan terkecuali daripada membayar cukai. Ini menyebabkan pengkritik GST melihat GST sebagai regresif – orang miskin, sebagai nisbah kepada pendapatan mereka, membayar lebih cukai berbanding orang kaya. Penyokong GST, tanpa menafikan isu regresiviti ini, mencadangkan jalan pembetulan, iaitu, memastikan agihan cukai yang dipungut dilakanakan dalam cara yang boleh mengurangkan beban cukai ke atas golongan berpendaptan rendah.


Memang diakui bahawa GST menambahkan beban cukai ke atas isirumah (household) khasnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu, serentak dengan pengenalan GST, kerajaan Singapura juga memperkenalkan “offset package” merangkumi penurunan kadar cukai korporat, kadar cukai pendapatan individu dan pindahan manfaat langsung kepada isirumah yang layak. Berikut ialah peningkatan kadar GST dan penurunan serentak kadar cukai korporat dan cukai pendaptan individu.

Kerajaan Singapura terus menurunkan kadar cukai korporat dan cukai pendapatan individu, inisiatif yang telah dimulakan sejak tahun 1986. Pada tahun 2010, kadar cukai korporat di Singapura ialah 17% dan cukai pendapatan individu 20% (lingkongan pendaptan tertinggi). Kadar cukai efektif adalah lebih rendah.

Apabila kadar GST dinaikkan kepada 7% berkuatkuasa pada 1 julai 2007, kerajaan Singapura melebarkan offset package dalam bentuk pindahan langsung manfaat, iaitu, dalam bentuk bayaran tunai (kredit GST, dividen pertumbuhan ekonomi dan bonus warga emas) dan menambah caruman kepada kumpulan wang simpanan pekerja (CPF top-up), misalannya menambah caruman kepada akaun pendidikan selepas menengah (post-secondary education account top-up) dan menambah caruman bantuan perubatan untuk golongan tua (Medisave top-up for older Singaporans).

Juga terangkum di dalam offset package ialah pemberian rebat (di atas caj utiliti dan penyelengaraan rumah awam) dan melaksanakan program Tambahan Pendapatan Pekerja (Workforce Income Supplement). Kerajaan Singapura telah menurunkan kadar cukai bagi golongan berpendapatan rendah dan skop pengecualian cukai diluaskan. Cukai hartanah juga diturunkan. Offset package ini bertujuan mengurangkan beban cukai GST ke atas golongan berpendapatan rendah. Dan pakej ini memang telah berjaya mengurangkan beban cukai ke atas penduduk Singapura keseluruhannya.

Dilaporkan bahawa hasil daripada pelaksanaan GST serentak dengan offest package, sistem cukai (mengambilkira semua jenis cukai cukai - pendapatan, cukai hartanah, GST dan lain-lain cukai tidak langsung), di Singapura kini cukup progresif – golongan berpendapatan tinggi membayar paling banyak cukai berdasarkan kepada nisbah cukai kepada pendapatan. 10% isirumah yang paling atas (dari segi pendapatan) menyumbang 38% dari seluruh cukai yang dipungut dan 20% isirumah yang paling atas menyumbang 53%. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula sebenarnya menerima lebih bayaran pindahan berbanding cukai yang mereka bayar.

Kajian yang dibuat dalam tahun 2010 mendapati bahawa 84.2% dari jumlah GST yang dipungut, disumbang oleh orang asing (bukan penduduk) dan 40% isirumah yang paling atas dan 20 isirumah yang paling bawah pula menyumbang hanya 4% dari GST yang dipungut.

Bagi Singapura, GST akan kekal kerana pelaksanaan yang serentak dengan offset package membawa kesan progresiviti, menjamin keseksamaan sistem cukai (equitability) dan menyediakan sumber yang selesa bagi kerajaan membawa kebajikan kepada rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah.


0 comments: