Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, March 7, 2012

Modenas Ace 115 – padat dengan pelbagai ciri-ciri menarik, rekaan sporty dan menawan

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) minggu ini melancarkan model motosikal terbaru keluaran syarikat itu, Ace 115. Model terbabit dibangunkan menggunakan reka bentuk serba baru ala skuter dan digabungkan dengan ciri motosikal moped untuk memberikan kelebihan kedua-dua jenis motosikal kapcai dan skuter di dalam satu produk yang berkualiti.

Ace 115 dilengkai dengan pelbagai ciri menarik, antaranya termasuk enjin daripada teknologi Kawasaki berkapasiti 120cc, sistem penyerap hentak tunggal (monoshock) dan brek cakera dwi-piston untuk bahagian hadapan. Ia dipadankan dengan sistem transmisi putaran empat kelajuan (rotating system) serta ciri sporty lain seperti rim aloi, lampu depan nyalaan lebih terang untuk tunggangan malam, serta reka bentuk ekzos yang merangkum semangat motosikal sporty yang ingin ditampilkannya.

Dijangka akan mendapat perhatian dan membuka segmen tersendiri yang akan mendapat sambutan hangat penunggang-penunggang di Malaysia. “Ace 115 diuji dengan ketat untuk memastikan kualiti buatan dan ketahanannya. Model ini sudah melalui ujian ketahanan yang melibatkan ujian jalan raya sehingga 20,000km serta ujian dynometer sehingga 300 jam,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abd. Halim Ismail.

Dengan pengenalan model terbaru ini disasarkan untuk menarik minat golongan pengguna dalam kelompok usia 18 hingga 35 tahun, Modenas meletakkan matlamat untuk meningkatan pegangan di dalam pasaran motosikal tempatan sehingga 15 peratus, dengan jumlah unit jualan yang disasarkan ialah 7,000 unit sebulan.

Ace 115 dibangunkan sepenuhnya dari awal oleh bahagian penyelidikan dan pembangunan Modenas di Gurun dan mengambil masa selama 24 bulan untuk disempurnakan. “Ace 115 dengan slogan ‘Evolusi Impian’ adalah semangat baru yang cuba ditampilkan Modenas, yang turut melibatkan pembangunan model-model akan datang. Dengan ini, Modenas akan berusaha untuk memperkenalkan model-model baru yang lebih menarik,” jelas Abd Halim.

Ditawarkan di dalam dua tema warna putih dan merah, Ace 115 dijual pada harga yang cukup kompetetif, iaitu RM4,600.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datin Mahani Tan Abdullah sambil disaksikan oleh Pengerusi DRB-Hicom Berhad merangkap Pengerusi Modenas, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil.

Di dalam perkembangan sama, Abd Halim turut mengesahkan bahawa syarikat itu sedang giat memperkembang barisan produk Modenas untuk pasaran tempatan khususnya. “Kami antara lain kini di dalam persediaan untuk menambah model-model di dalam siri GT, dengan penyelidikan terhadap reka bentuk dan kejuruteraan enjin baru menjadi antara fokus utama. Begitu juga dengan enjin dan model di dalam kapasiti yang lebih besar, misalnya model dengan enjin 150cc. Modenas menjangkakan proses ini akan mengambil masa sekitar tiga tahun sebelum produk-produk baru yang lebih cekap mula diperkenalkan secara rasmi,” tambah beliau lagi.





0 comments: