Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, March 17, 2012

'Jangan Sampai Adat Susahkan Urusan Kahwin'

http://i200.photobucket.com/albums/aa320/solicitouslady/pelamingahatsair.jpg
Kota Bharu - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang Melayu tidak terlalu memberi tumpuan pada soal adat dan budaya sehingga menyusahkan urusan perkahwinan termasuk "terpaksa berhutang."

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, urusan perkahwinan sepatutnya dipermudahkan dan tidak wajar membiarkan diri dibebani pelbagai 'gangguan' budaya Melayu.

“Soal nikah kahwin dalam Islam adalah perkara yang amat digalakkan dan boleh disempurnakan walaupun hanya dengan mas kahwin 'cincin besi'.

“Malangnya, pengaruh masyarakat yang mahukan keindahan budaya Melayu ditonjolkan yang menjurus kepada kemewahan dan pembaziran menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, bakal pengantin dan keluarga sepatutnya hanya memikirkan belanja mas kahwin dan jamuan untuk tetamu sahaja.

Budaya Melayu yang mahu ditonjolkan katanya, menunjukkan banyak duit tapi pada hakikatnya banyak antara masyarakat yang terpaksa berhutang.

"Kita lihat banyak pameran perhiasan, pintu gerbang perkahwinan yang sengaja dibuat-buat sedangkan ia memakan banyak belanja," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika tidak kena caranya, si suami mungkin terpaksa mengambil semula mas kahwin dan berhutang dengan isteri kerana mahu melangsaikan pinjaman persiapan majlis perkahwinan.

"Padahal mas kahwin itu seratus peratus milik isteri, tetapi akhirnya habis di tangan suami dek kerana hutang yang banyak,"
katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz menyelar pihak yang mendakwa Kelantan sebagai negeri termiskin di negara ini.

Katanya, sindiran sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana Kelantan juga negeri dalam persekutuan Malaysia yang sepatutnya dilayan serupa dengan negeri-negeri lain.

"Kalau kita berkereta ke sempadan Terengganu di Bukit Yong, Pasir Puteh, kita dapat lihat dengan jelas perbezaan keadaan jalan antara dua negeri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana duit yang dibelanjakan kerajaan persekutuan bukannya milik 'mak bapak' mereka.

"Sebab tu saya tidak akan halalkan sedikitpun harta Kelantan seperti royalti minyak yang dinafikan sekian lama, saya tidak akan halal sesenpun dan mengajak semua rakyat menuntutnya di hadapan Allah di akhirat nanti," katanya. -SH

0 comments: