Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, March 17, 2012

SPR tidak tunai janjinya - anggota PSC

http://media1.malaysiakini.com/254/31664d26f1fffa1633c8aaa8b031c301.jpg
KUALA LUMPUR, 16 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuktikan badan tersebut tidak menunaikan janjinya apabila bertindak menukar kawasan mengundi membabitkan kawasan Parlimen.

Biarpun ia ekoran pembetulan sempadan kawasan pilihan raya, pertukaran itu hanya boleh melibatkan kawasan yang dilingkungi Parlimen yang sama sebelum ini.

"Jika yang bertukar hanya Dun tetapi masih di Parlimen yang sama, ia tidak menjadi masalah. Tapi, apabila membabitkan pertukaran Parlimen (dan dalam kes MB Selangor negeri), itu sudah tidak betul," tegas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan SPR berhubung pertukaran kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, dari Parlimen Petaling Jaya Selatan di Selangor ke Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Akibat pertukaran ini, Khalid tidak lagi boleh bertanding dalam DUN Selangor dan menyebabkan beliau tidak lagi boleh menjadi MB Selangor.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi penambahbaikan pilihan raya (PSC), berkata dengan pertukaran tersebut menunjukkan tindakan SPR yang kononnya membekukan pembetulan sempadan pada 2011 itu sebenarnya tidak berlaku.

"Saya tidak tahu di mana silapnya SPR dalam hal ini, tetapi saya berharap SPR berpegang pada janji bagi memastikan badan itu bebas dari mengundang persepsi negatif daripada rakyat, lebih-lebih lagi dalam 'mood' pilihan raya umum yang semakin hampir, " tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sewajarnya pihak SPR memaklumkan kepada pengundi yang terlibat dalam pembetulan sempadan itu bagi mengelakkan sebarang kekecohan.

Katanya, jika pengundi dimaklumkan lebih awal tentang pembetulan kawasan mengundi tersebut, kemungkinan berlaku kekecohan pada hari mengundi kelak dapat dielakkan.

"Bayangkan, jika pengundi tidak membuat semakan awal dan tidak dimaklumkan, apabila hari pengundian baru tahu tempat mengundi yang lain, akan berlaku kekecohan. Macam Tan Sri ini, dia sendiri buat semakan," tegas beliau.

Kes membabitkan Khalid ini mula dikesan apabila Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi 'pengundi hantu' di Lembah Pantai.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, langkah tersebut dibuat pada awal tahun 2010 selaras dengan keputusan SPR untuk menyelaraskan peta pilihan raya dengan peta rasmi negara.

Beliau berkata Khalid telah didaftarkan sebagai pengundi di Jalan 16/2 di Seksyen 16, Petaling Jaya, yang telah tersilap dimasukkan sebagai sebahagian daripada kawasan Petaling Jaya Selatan sebelum pembetulan sempadan itu dibuat.

Apabila peta pilihan raya dan peta rasmi itu diselaraskan dengan menggunakan sistem geografi, didapati Jalan 16/2 sebenarnya berada di bawah zon mengundi Rumah Kakitangan Universiti, di bawah kawasan Lembah Pantai.

Harakah Daily

0 comments: