PKR nafi pengawal peribadi Anwar acu pistol
SHAH
ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan salah seorang pengawal
peribadi Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengacukan pistolnya ke
arah orang ramai ketika insiden menghalang bas PKR Jelajah Merdeka
Rakyat di Jasin, Melaka semalam.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pengawal yang ditugaskan untuk
menjaga keselamatan Anwar tidak mengacukan senjata tersebut ke arah
orang ramai sebagaimana dilaporkan beberapa media hari ini.
"Pengawal yang ditugaskan tidak mengacu senjata api terhadap orang ramai.
“Sebaliknya,
apa yang dilakukan adalah mengeluarkan senjata api dan menghalakan
muncung pistol ke tanah, di bawah paras pinggang," kata beliau yang
juga Ketua PKR Jasin.
Tambah beliau, tindakan yang dilakukan oleh
pengawal terbabit mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), yang akan
dilakukan oleh mana-mana pengawal keselamatan untuk memberi amaran
kepada orang ramai supaya beredar dan tiada gangguan ke atas pihak yang
dijaganya, dalam kes ini Anwar.
"Apa yang saya dengar daripada
pengawal terbabit, dia berkata kepada semua orang ramai untuk bersurai
dan jangan ada yang menggangu," tambah beliau.
Sebaik sahaja
kejadian terbabit, beberapa anggota polis yang berpakaian preman
menyerbu ke arah pengawal terbabit dan merampas senjata itu daripada
lelaki tersebut, ujar Shamsul Iskandar.
Tambah beliau, satu laporan polis akan dibuat mengenai perkara tersebut hari ini.
Sinar Harian Online difahamkan pengawal keselamatan telah diambil keterangan semalam dan dilepaskan malam tadi.
Laporan
media hari ini menyebut polis menahan lelaki yang ditugaskan untuk
mengawal Anwar selepas mengacukan senjata api ke arah orang ramai di
Kampung Baru Rim, Jasin petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.15
petang, lelaki berusia 37 tahun, yang menaiki Toyota Camry, dipercayai
berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol selepas
sekumpulan lelaki cuba menghalang bas dinaiki Anwar ke satu majlis di
kampung tersebut.
Siasatan polis menunjukkan senjata api itu milik syarikat keselamatan dan pegawai terbabit dibenarkan membawanya ketika bertugas. -SH
Anggota polis sahkan pengawal peribadi Anwar tak acu pistol
JASIN 9 September: Pengawal peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai Jim, tidak mengacukan pistol kepada samseng Umno walaupun berdepan provokasi mereka.
Setiausaha Pengelola KEADILAN, Radin Shamsulkamar Radin Shamsudin, berkata Jim berusia lingkungan 30 tahun, ditahan selepas polis menerima lima aduan daripada Pemuda Umno Jasin.
“Seorang anggota polis yang melihat insiden itu juga menegaskan Jim tidak mengacukan pistol (ke arah samseng). Jim dibebas selepas polis berpuas hati dengan rakaman video kejadian itu,” katanya kepada Keadilan Daily ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka.
Jim ditahan polis berpakaian preman ketika cuba menyurai samseng umno yang mengerumuni bas Merdeka Rakyat untuk ke sambutan Aidil Fitri KEADILAN Cabang Jasin di Kampung Kelubi, Jasin.
Laporan edisi bahasa Mandarin NTV7 semalam menyebut, dua anggota polis bertindak ke atas pengawal peribadi Anwar dan kononnya, memaksa senjata api itu dimasukkan semula ke sarung.
Malah, Setiausaha Kerja Wanita Pusat, Maisuri Zainal pula berkata Jim hanya mengacah dengan mengeluarkan pistol sebagai langkah berjaga-jaga tapi muncungnya menghala ke tanah.
“Saya nampak beliau halakan pistol ke bawah…bukan acu (ke arah samseng),” katanya yang mengikuti program jelajah berkenaan, sambil menggayakan semula aksi itu.
Selain itu, Maisuri dan rakannya, Abdul Hadi Suhaimi juga yakin dapat mengecam wajah samseng Umno yang menyimbah cat ke bas Merdeka Rakyat, jika kawad cam dibuat.
Menyatakan sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Jasin lewat malam 8 September lalu, beliau berkata, mereka nampak jelas insiden itu dari dalam bas, sebelum keluar merakam gambar dan video.
Laporan polis berhubung insiden itu sudah dibuat Radin Shamsulkamar pada jam 8.43 malam di balai polis sama. -KD
0 comments:
Post a Comment