Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, September 4, 2012

Samsiah wanita pertama ketuai jabatan agama di T'ganu

Samsiah Awang
Samsiah Awang
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang baru dilantik Samsiah Awang mencatat sejarah wanita pertama menerajui jabatan agama di negara ini.

Samsiah, 54, yang dilantik 26 Ogos lalu berazam memberikan khidmat terbaik kepada seluruh umat Islam di Terengganu. Beliau terharu dengan keyakinan dan kepercayaan kerajaan negeri terhadap kredibilitinya.

"Saya berharap mendapat sokongan dari semua petugas jabatan ini untuk sama-sama memastikan khidmat kita terus cemerlang demi memastikan kemaslahatan (kesejahteraan) umat Islam negeri ini terus terjaga.

"Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan meminta petunjuk dari Allah sekiranya terdapat masalah dan cabaran besar untuk bergerak seiring dengan hasrat kepimpinan kerajaan negeri yang mahu Terengganu terus maju dengan syiar Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pekerja cemerlang JHEAT di Kuala Terengganu hari ini.

Samsiah yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah JHEAT, dilantik menggantikan Mohd Rozali Saleh yang kini memegang jawatan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Samsiah yang mempunyai sembilan orang anak dan sembilan orang cucu berkata pelantikan itu adalah tanggungjawab besar yang perlu digalas namun beliau tetap yakin mampu menyumbang khidmat cemerlang hasil konsep kerja berkumpulan petugas di jabatan itu.

Pengalaman luas Samsiah dalam bidang keagamaan bermula sejak kecil dan hasrat beliau kini ialah meneruskan impian kedua ibu bapanya dalam menegakkan syair Islam, di Terengganu.

"Arwah ayah saya, Awang Ismail adalah bekas Imam Masjid Negeri dan guru agama kepada Allahyarham Sultan Mahmud, ayahanda kepada Sultan Terengganu sekarang, iaitu Sultan Mizan Zainal Abdidin.

"Arwah suami saya pula, Rozali Awang ialah bekas ketua penolong pengarah di JHEAT dan meninggal tiga tahun lalu," katanya.-Bernama

0 comments: