Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, September 17, 2010

Kes Bunuh Dato Sosilawati - Remaja 19 tahun tikam 4 mangsa

Oleh Tranungkite

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 19 tahun yang juga antara lapan suspek yang ditahan bersabit pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dikatakan individu bertanggungjawab menikam semua mangsa hingga mati sebelum empat rakan suspek lain bertindak membakar mayat berkenaan.

Untuk tugas itu, suspek utama yang juga seorang peguam membayarnya antara RM2,000 dan RM5,000 bagi setiap mangsa dibunuh.

Sumber polis berkata, ‘pakej bayaran’ bagi membunuh mangsa terbabit turut membabitkan kerja menculik, membunuh, membakar mayat dan menghapuskan bukti.

“Pembabitan suspek yang dibayar dengan wang tunai itu dipercayai bukan hanya membabitkan enam individu yang diberkas sebelum ini malah polis percaya terdapat sekurang-kurangnya 10 individu yang sanggup menjalankan jenayah terbabit hanya kerana wang. “Setakat ini, polis masih mengumpul maklumat daripada suspek ditahan selain pembabitan beberapa bekas pekerja dan pembantu peribadi peguam terbabit dengan jenayah terancang itu sejak lebih tiga tahun lalu di sekitar Banting dan Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, walaupun setakat ini siasatan menjurus kepada sembilan mangsa yang pernah dibunuh peguam berkenaan namun polis tidak menolak kemungkinan jumlah berkenaan boleh meningkat berdasarkan beberapa kertas siasatan kes kehilangan lama yang dibuka kembali.

“Setakat ini, terlalu banyak serpihan tulang dan objek ‘misteri’ ditemui yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan bersiri terbabit. Bagaimanapun, polis memerlukan masa dan tumpuan lebih terperinci bagi mengenal pasti identiti tulang manusia yang ditemui itu.

“Walaupun ia mungkin mengambil masa namun hasil siasatan boleh dirumuskan bahawa semua pembunuhan bersiri ini bermotifkan wang yang didalangi peguam terbabit,” katanya.

Menurutnya, jika bukan kerana tarikan wang, adalah mustahil konco-konconya peguam itu sanggup melakukan kerja yang tidak berperikemanusiaan itu.

“Adalah mustahil konco upahan peguam terbabit sanggup melakukan tugas kejam berkenaan jika bukan kerana menerima imbuhan lumayan yang ditawarkan peguam yang mempunyai aset tunai hampir RM100 juta terbabit,” katanya.

Terdahulu, polis turut berjaya memberkas seorang lagi suspek kesembilan kira-kira jam 11 pagi Selasa lalu, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan jenayah bersiri peguam berkenaan.

Suspek berusia 40-an yang juga bekas pengawal peribadi suspek utama dipercayai dapat membongkar lebih banyak lagi kes jenayah dilakukan suspek. Selasa lalu, polis Bukit Aman turut menyerahkan empat daripada lapan suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati kepada polis Gombak kerana mengesyaki mereka turut mempunyai kaitan dalam satu kes pembunuhan di daerah itu pada 8 Mac lalu.

0 comments: