Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, September 20, 2010

Makhluk Yang Paling Jahat Di Bawah Naungan Langit Adalah "Ulamak Suk"?

Oleh ramziredang (DD)

"Bumi luas terbentang dan dihuni oleh berbagai bagai makhluk samada di atas daratan, di dalam bumi maupun di dalam lautan. Telah dikisahkan juga makhluk jin dan iblis yang jahat kerajaannya berpusat di dalam laut. Pada pandangan kita orang awam yang kurang ilmu, mungkin bagi kita makhluk yang paling jahat di muka bumi adalah iblis dan syaitan. Atau mungkin kita juga beranggapan yahudi dan nasrani adalah makhluk yang paling jahat. Tetapi lain yang telah dipesan oleh junjungan Rasulullah saw yang tersayang.

Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata: Telah bersabda Rasulullah saw:"sudah hampir sampai satu masa di mana tidak tinggal lagi daripada islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada al quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid masjid mereka tersergam indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat jahat makhluk yang ada di bawah naugan langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali.(hadis riwayat baihaqi)

Melihat kepada suasana hidup kita hari ini yang tidak tenteram, tidak selamat dan penuh dengan bala yang menakutkan, tidakkah kita terasa inilah zaman yang telah disabdakan oleh Rasullullah saw seperti hadis di atas? 'Fitnah' yang disebut oleh Rasulullah di atas adalah bermaksud 'kerosakan, dosa, bala, kehancuran umat ataupun iman umat yang tergelincir'. Kenapa ulama disebut sebagai makhluk yang paling jahat di atas mukabumi ini padahal tugas ulamak adalah sebagai pewaris Nabi?

Jelaslah kerana mereka telah menyeleweng dari tugas mereka. Bila menyeleweng dari tugas, jadilah ia dari orang yang paling mulia bertukar ia menjadi orang yang paling jahat. Umpama 'polis' tugasnya menjaga keamanan dan mencegah jenayah. Tentu sahaja polis akan disanjung dan dihormati kerana menjaga keselamatan rakyat. Tetapi jika sekiranya polis berperangai seperti penjenayah dan bersubahat dengan penjenayah, maka kucar kacirlah kehidupan masyarakat. Tiada lagi tempat bergantung dan berlindung bagi masyarakat. Maka jadilah polis dikeji dan dihina jika tidak jujur dalam melakukan tugasnya.

Firman Allah dalam surah An Nisa Ayat 105," Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)al kitab(al quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu( melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat"

Jika diambil mithalnya pada hari ini, tentulah jelas kepada kita ulama yang macamana telah menjadi pembela kepada pengkhianat. Pengkhianat yang telah mengkhianati amanah Allah dan Rasul. Lain yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul, lain pula yang mereka redha berlaku di sekeliling masyarakat. Kerana mereka, masyarakat yang jahil sentiasa berada di dalam kesesatan. Kerana ilmu mereka tidak dicurahkan dengan sebenar benarnya. Kata kata mereka tidak seiring dengan ilmu mereka. Kekadang mereka menyeru kepada kebaikan tetapi mereka tidak mencegah kepada kemungkaran. Padahal tidak dapat tidak, mereka kena dua dua, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Tidak boleh hanya salah satu. Tidak boleh hanya menyeru kepada kebaikan sementara kejahatan dibiarkan berleluasa. Lagilah teruk jika membiarkan kejahatan tetapi langsung tidak menyeru kepada kebaikan

Apa yang ada di sekeliling kita hari ini adalah, ulama yang teragak agak menyeru sikit sikit kepada kebaikan, tetapi langsung tidak mencegah kepada kemungkaran. Mereka hanya merasa tugas mereka hanya di dalam masjid. Mereka hanya merasa ilmu mereka hanya untuk orang yang suka kepada masjid. Sedangkan orang yang bergelumang dengan dosa tidak didekati dan dibimbing. Mereka langsung tidak merasa tiap dosa yang dilakukan oleh orang yang berzina, akan juga ditanggung oleh ulamak selagi mereka tidak mencegahnya. Tidakkah mereka merasa tiap teguk arak yang mengalir ditekak para peminumnya, akan juga ditanggung dosa oleh ulamak selagi mereka tidak bersungguh sungguh menyeru diharamkannya.

Mereka juga merasa aman damai bersekongkol dengan golongan yang jelas melanggar perintah Allah. Maka jadilah mereka seperti dalam firman Allah di atas,"pembela kepada pengkhianat"

Seluruh dunia Islam hari ini, samada di palestine, iraq, afghanistan, malaysia dan di mana sahaja, penuh dengan bala bencana. Umat Islam dihina, dibunuh disembelih dengan sewenang wenangnya. Seolah olah tiada lagi keberanian di kalangan umat islam menentang musuh. Tentu sahaja semua ini berlaku kerana ulamak lebih suka berdiam diri. Hinggakan ada setengah negara Islam menjemput pihak zionis masuk ke negara mereka untuk menyerang dan menyembelih umat islam. Apakah di negara tersebut tidak ada ulamak yang dilantik oleh kerajaan? Tentu ada tetapi mereka adalah ulamak yang lebih suka menjual ilmunya dengan harga yang murah. Maka tidak dinasihatinya para pemerintah supaya menjauhi yahudi dan nasrani, malah diredhainya pula para pemerintah bersekongkol dengan musuh. Ilmu mereka tidak dicurahkan secara sepenuhnya kerana takut hilang punca pendapatan. Tidak terkecuali juga ulamak di malaysia. Kekadang apa yang dilakukan oleh ulamak di Malaysia, cara hidup dan berpakaian, buat rakyat terkejut..ALAMAK!!Ulamak???

Tugas ulamak adalah berdakwah. Tetapi berapa ramaikah yang telah berjaya diIslamkan oleh ulamak kerana tugas dakwahnya? Jangankan kata hendak mengIslamkan orang kafir, sebaliknya iman orang Islam pula yang dibiarkan tergelincir dan bertukar agama. Tukar agama secara langsung dan tidak langsung. Yang tidak langsung seperti adanya perayaan perayaan yang di'sambutkeliru' dengan adat agama lain, cara hidup yang penuh hiburan dan macam macam maksiat lagi.

Dari hadis Huzaifah Ibnu Yaman ra berkata: manusia bertanya kepada Rasulullah saw tentang kebaikan sedangkan aku bertanya kepada baginda tentang keburukan kerana khuatir jangan jangan menimpaku. Maka aku bertanya: wahai Rasulullah, sebelum ini kita berada di zaman jahilliyah dan keburukan, kemudian Allah mendatangkan kebaikan ini. Apakah setelah ini ada keburukan? Baginda bersabda: ada. Aku bertanya; Apakah setelah keburukan itu akan datang kebaikan? Baginda bersabda:Ya, akan tetapi di dalamnya ada dakhanun.
Aku bertanya: Apakah dakhanun itu? Baginda menjawab: Sesuatu kaum yang mensunnahkan selain sunnahku dan memberi petunjuk dengan selain petunjukku. Jika engkau menemui mereka maka ingkarilah(jauhi dan jangan ikut mereka). Aku bertanya lagi: Apakah setelah kebaikan itu ada keburukan? Baginda bersabda : Ya, Du'atun ala abwabi jahannam(para penyeru ke pintu pintu neraka jahanam). Barang siapa yang mengikutinya, maka akan dilemparkan ke dalamnya(neraka). Aku bertanya: wahai Rasulullah, berikan ciri ciri mereka kepadaku. Baginda bersabda: mereka mempunyai kulit seperti kita dan berbahasa dengan bahasa kita.
Aku bertanya lagi: Apa yang engkai perintahkan kepadaku jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Berpegang teguhlah pada jamaah muslimin dan imamnya. Aku bertanya: Bagaimana jika tidak ada jamaah maupun imamnya? Baginda bersabda : Hindarilah semua firqah itu walaupun dengan menggigit dahan pokok hingga maut menjemputmu sedangkan engkau dalam keadaan seperti itu.

Jika kita perhatikan hadis di atas dan di teliti dengan cara kehidupan hari ini, serta membandingkan dengan ciri ciri ulamak pada hari ini, tentu dengan jelas kita dapat mengenali siapakah ulamak ulamak yang telah disebutkan oleh Rasulullah dengan jelas itu.

Maka jauhilah kita dari mereka itu kerana mereka hanya akan mendatangkan kerosakan hidup kita di dunia, dan menjerumuskan kita ke dalam neraka yang kekal abadi. Kerana merekalah Allah menurunkan bermacam macam bala. Kerana merekalah hidup yang berkah dan aman telah Allah angkat dari umat, sepertimana kehidupan kita hari ini yang penuh dengan macam macam bala dan bencana yang membimbangkan. Maka itulah ulamak yang sejahat jahat makhluk di bawah naungan langit, sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. Nauzubillah.


0 comments: