Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, September 25, 2010

Ugutan Syabas: Kerajaan PR Selangor Akan Terus Pertahankan Hak Rakyat Selangor

Oleh Kelab GB

Selangor Tidak Gentar Tuntutan RM308 Juta Syabas

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor mahu mengheret Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) ke mahkamah kerana kegagalan mereka mematuhi beberapa asas penting dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada rakyat Selangor.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri sedikit pun tidak merasa gentar terhadap tindakan syarikat kroni Umno itu menuntut bayaran RM308 juta dari Selangor yang didakwa sebagai “pampasan” kerana terhalang menaikkan tarif air.

"Kerajaan Negeri sedikit pun tidak gentar dengan tuntutan Syabas dan berpendapat syarikat itu tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air antaranya; bekalan air yang teruk, bekalan air yang tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan Kerajaan Negeri kerugian berjuta ringgit.

"Jika Syabas dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37% seperti yang disebut dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal daripada harga petrol hari ini. Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana rakyat masih dibelenggu dengan kemelut ekonomi global, apatah lagi perkhidmatan air yang diberikan tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.

"Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Selangor mempertahankan hak rakyat Selangor mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik dengan harga yang berpatutan. Air adalah keperluan asas yang dianugerahkan Allah dan oleh itu, hanya kos minimal bagi proses rawatan air patut dikenakan," kata Menteri Besar dalam satu kenyataan media semalam.

Syabas membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 Septermber lalu dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan Kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung di dalam perjanjian konsesi.

Pada masa yang sama ia mengugut untuk mengheret Kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian.

"Konsep penswastaan yang diperkenalkan pada 1982 mempunyai matlamat jelas iaitu mengurangkan tanggungan Kerajaan dalam memberi perkhidmatan asas kepada rakyat dan pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dengan bayaran yang melampaui kemampuan.

"Pengenalan konsep tersebut tidak tercatatat langsung bahawa penswastaan bertujuan untuk memberi keuntungan melampau kepada mana-mana pihak apatah lagi mereka yang berkait rapat dengan pemerintah. Dengan ini, Kerajaan Negeri menyatakan semangat konsep penswastaan telah dicabuli oleh golongan yang tamak dan berkepentingan sekali gus telah mencabar kepentingan rakyat," tegas Abdul Khalid lagi.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri akan menentang dengan cara apa sekali pun, usaha Syabas atau mana-mana pihak yang mencabar rakyat Selangor terhadap hak mutlak air.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada (undang-undang) bagi menghormati perbincangan pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh digunapakai.

"Syabas maklum akan perbincangan yang dilakukan dan adalah amat tidak wajar bagi Syabas membuat tuntutan pampasan di peringkat ini. Surat-surat tuntutan ini juga mendedahkan pekung Syabas yang tidak mengendahkan kepentingan rakyat.

"Syabas menyebarkan program kemasyarakatan yang dikatakan untuk membantu golongan kurang berkemampuan membayar bil air semasa dan tertunggak tetapi sebenarnya Syabas telah meminggirkan rakyat dengan mendesak supaya tarif air dinaikkan.

"Sikap dan keikhlasan Syabas ini diragui kerana lebih mementingkan kenaikan tarif daripada menyelesaikan rundingan pengambilalihan syarikat konsesi air yang bertujuan menyelesaikan penstrukturan air secara menyeluruh supaya mutu perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan," kata Menteri Besar.

Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri akan melancarkan gerakan menyelamatkan rakyat Selangor dari terus dicengkam ketidakadilan perjanjian konsesi yang nyata membelakangi tanggungjawab sosial.

Justeru itu, rakyat Selangor digesa untuk bersatu bersama Kerajaan Negeri bagi mempertahankan hak dan maruah.

"Percayalah, dengan usaha yang gigih dan doa yang berpanjangan usaha rakyat Selangor akan beroleh kejayaan," ujar beliau. -SK

0 comments: