Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, April 17, 2012

Bekas CEO Yayasan Pelajaran Mara Didakwa Buat Tuntutan Palsu

Sumber Kelab GB

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Dr Shariff Hamid, mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah lebih RM300,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin dan minta dibicarakan.

Beliau adalah salah seorang daripada dua yang dihadapkan ke mahkamah ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan membuat tuntutan palsu ke atas satu program latihan yang tidak wujud berjumlah sehingga lebih RM300,000.

Shariff, 52, sebelum itu telah didakwa dengan sembilan pertuduhan iaitu mengemukakan dokumentasi palsu dengan mengarahkan Pengurus Kewangan YPM, Hafizoh Mohd Shah meluluskan pembiayaan untuk satu program motivasi remaja, sedangkan beliau sedar program itu tidak pernah berlangsung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat YPM di Medan Mara, Jalan Raja Laut di sini pada jam 1.30 petang 23 Julai tahun lalu.

Pengurus Program YPM, Zainal Rashid Zakaria, 43, juga turut didakwa dengan sembilan pertuduhan menipu yayasan berkenaan dengan mengesahkan kewujudan program berkenaan kononnya telah berlangsung di Perak antara 5 Julai hingga 22 September 2011 walaupun menyedari bahawa program itu tidak mengambil tempat sepertimana yang dikatakan.

Zainal didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada 25 Mei 2011.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mereka berhadapan dengan hukuman 20 tahun penjara dan denda lima kali jumlah suapan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 kepada setiap tertuduh dengan satu jaminan dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Mei sebagai tarikh sebutan kes.

Shariff, sebelum menyandang jawatan CEO YPM adalah bekas setiausaha eksekutif di Sekretariat Ibu Pejabat Umno Malaysia.

Beliau juga adalah bekas pengarang ekonomi Berita Harian dan pernah memenangi hadiah tertinggi kewartawanan Malaysia iaitu Anugerah Kajai pada pertengahan tahun 1980-an.

Beliau berkhidmat dengan RTM sebagai wartawan penyiaran pada tahun 1984 sebelum menyertai agensi berita nasional (Bernama) pada tahun 1987.

Shariff kemudian menyertai Business Times dan Berita Harian. Beliau juga pernah menyumbang artikel kepada akhbar bisnes mingguan, The Edge.

Menurut rekod, Shariff memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang pentadbiran perniagaan daripada European-American University yang berpusat di Oxford, England. -mstar

0 comments: