Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, April 17, 2012

Umno gagal lahirkan pemimpin dengan sahsiah Islam


KUALA LUMPUR, 17 April — Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, kepimpinan Umno gagal dalam membentuk sahsiah pemimpin mereka dengan ilmu dan sahsiah Islam kerana parti pemerintah itu hanya membentuk pemimpin yang mengamalkan rasuah dan mengutamakan kepentingan peribadi. Dalam satu kenyataan bertajuk “Surat Terbuka untuk Pejuang Melayu”, Hadi menjelaskan, Islam yang ada pada Umno hanyalah sekadar agama, dan bukannya “al-Din” seperti yang dinyatakan al-Quran.

“Pendekatan semangat kebangsaan Melayu Umno sejak lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan menjadikan Islam sekadar satu religion atau agama, bukan ‘al-Din’ yang dinyatakan oleh al-Quran.

“Umno tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sahsiah Islam, Umno hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti,” tegasnya.

Tambah Hadi, kepimpinan itu menurut pemimpin Umno dianggap sebagai peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna.

“Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam,” katanya.

Ahli Parlimen Marang ini menjelaskan, walaupun agama Islam diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh
semua kaum kerana majoritinya, mereka masih lagi tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin Umno diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayu dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin Umno.

“Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam,
sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya, akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan Umno, bahkan jatuh terhumban bersamanya,” tegasnya lagi.

Jelasnya lagi, PAS berulang kali mengajak Umno bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi Umno sepanjang masa tidak bersedia.

“Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun. Kalau Umno ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan.

“PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.
“Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya,” tambahnya.

Menurut Hadi, Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya.

“Tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

“Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita.

“Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua,” tambahnya lagi.

“Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO,” tegas Hadi.
Sehubungan itu, beliau menggesa, individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi
pejuang Melayu, seperti yang diwar-warkan di media massa, mereka harus benar-benar ikhlas kerana Allah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia termasuk bangsa Melayu.

“Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu,” tambahnya lagi.

0 comments: