Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, April 18, 2012

Jawapan Menteri Tidak Memahami Kehendak Anak Muda

Oleh Mohd Yusof Hadhari

Mendengar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap perhimpunan mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi gelak tawa bagi rakyat khususnya mahasiswa.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencabar supaya mahasiswa terlibat dengan himpunan tersebut memulangkan semula pinjaman PTPTN. Beliau menyebut "Saya ingat mereka semua anak jantan, jadi mereka patut pulangkan".

Saya kira Menteri Pengajian Tinggi belum memahami tuntutan dan kehendak mahasiswa serta rakyat. Sudah berkali-kali badan politik, Ngo serta Mahasiswa sendiri bicara soal menghapuskan hutang PTPTN yang menjadi bebanan kepada Mahasiswa saban tahun sehingga ada yang di senarai hitamkan. Menteri Pengajian Tinggi perlu faham apa topik sebenar yang rakyat bincangkan sekarang ini.

Isunya sekarang ialah, pembayaran semula PTPTN yang menjadi bebanan serta ‘igauan' kepada penuntut yang sudah menamatkan pelajaran di universiti masing-masing. Polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini adalah, selepas 6 (enam) bulan bergraduasi, mereka wajib membayar semula pinjaman tersebut, sama ada sudah bekerja atau tidak.

Dengan ditambah kos pentadbiran sebanyak 3% (dahulu), dan 1% (Ujrah), maka jumlah bayaran balik pinjaman akan meningkat, dan tidak berkurang. Jumlah ini yang menjadi ‘hantu' kepada para pelajar hari ini. Mungkin bagi mahasiswa, mereka belum merasai lantaran masih berada di universiti dan sedang ‘enak' berbelanja dengan wang saku mereka. Rakyat merasa pelik ketika mana kita sedang bicara soal bebanan hutang, tiba-tiba Menteri Pengajian Tinggi mencabar memulangkan pinjaman PTPTN semula. Seolah-olah ketingalan jauh isu yang sedang hangat di bincangkan.

Sepatutnya kerajaan BN pada hari ini menyelesaikan kemelut anak muda ini. Iaitu bagaimana semua rakyat itu boleh mendapat pendidikan tanpa bebanan, kerana pendidikan merupakan tanggungjawab asasi yang perlu dimiliki oleh rakyat.

Bicara soal anak jantan. Sepatutnya sebagai seorang Menteri perlu lebih berani turun bertemu mahasiswa mendengar pandangan serta idea mereka, bukan dengan menghantar wakil sahaja sebagaimana yang berlaku sebelum daripada ini. Mahasiswa dan anak muda sentiasa menunggu kehadiran Menteri Pengajian Tinggi di Dataran Merdeka.

Rakyat perlu ingat, isu sebenarnya ialah wang dan harta negara ini banyak dibelanja secara salah dan tidak telus. Kebocoran di sana sini. Belanja yang melampau pada urusan yang tidak wajar, sedangkan para mahasiswa yang miskin ataupun kurang kemampuan dipaksa tanggung beban.

Lihat sahaja Laporan Audit Negara 2009, sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa. Perlu kita ingatkan kerajaan Umno Bn, rakyat pasti akan tuntut wang Negara yang hilang saban tahun suatu hari nanti.

Disediakan oleh :

Mohd Yusof Hadhari
Mantan Ketua Penerangan Gamis
Aktivis Mahasiswa


0 comments: