Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, April 25, 2012

Kesahihan gelaran kebesaran boleh disemak online

Orang ramai boleh merujuk lamanweb Bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri www.istiadat.gov.my jika mereka mahu menyemak sama ada gelaran kebesaran yang digunakan oleh seseorang individu itu adalah sahih dan diiktiraf kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata lamanweb itu mempunyai senarai lengkap yang dikemaskini mengenai semua penerima anugerah, sama ada yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong ataupun sumber-sumber yang diiktiraf.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang meminta Perdana Menteri menjelaskan apakah usaha yang diambil untuk menangani masalah penyalahgunaan gelaran kebesaran seperti Datuk dan Datuk Seri yang diragui kesahihan sumbernya di persidangan Dewan Negara hari ini.

Liew berkata mengikut dasar dan peraturan semasa, hanya penganugerahan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi negeri-negeri bersultan atau beraja serta Yang Dipertua Negeri akan diiktiraf.

Bagi darjah dari negara asing, hanya yang dikurniakan oleh ketua negara ataupun ketua kerajaan sesebuah negara asing yang berdaulat akan diiktiraf.

"Dalam hubungan ini, anugerah yang diberikan oleh pertubuhan, persatuan atau mana-mana institusi dalam dan luar negara yang tidak mempunyai kekuasaan politik dan wujud hanya sebagai pusat kebudayaan dan pemuliharaan adat budaya dan tradisi sahaja adalah tidak termasuk dalam kategori penganugerahan yang diiktiraf," katanya.

Liew menjelaskan bahawa bagi memastikan suatu penganugerahan itu dikawal rapi di peringkat Persekutuan, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa di Jabatan Perdana Menteri mempunyai satu rekod lengkap dan kemas kini mengenai semua penerima anugerah Persekutuan.

Katanya tindakan ini ialah bagi memastikan gelaran atau pingat yang dianugerahkan mempunyai daftar rekod yang sahih selain menggelak daripada timbulnya kekeliruan dan keraguan tentang senarai penerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan.

Liew juga menjelaskan senarai penerima anugerah hanya akan disiarkan sehari selepas majlis penganugerahan.


- Bernama

0 comments: