
Kerajaan Persekutuan dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan 
jelas di mana sisa Lynas akan dieksport dahulu sebelum kilang dibenarkan
 operasi untuk memproses nadir bumi.
“Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu 
menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada 
syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri,” kata 
Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Justeru, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menegaskan 
kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP di Gebeng, 
Kuantan selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan 
dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas 
beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Kerajaan Persekutuan BN dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan
 jelas di mana sisa Lynas akan dieksport  dahulu sebelum kilang 
dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.
Kenyataan empat Menteri BN, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan 
Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi
 Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sumber Asli Datuk Seri 
Douglas Unggah Embas Dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai 
bahawa syarikat Lynas Corporation Australia perlu mengeksport sisa yang 
terhasil daripada loji di Gebeng untuk memenuhi syarat lesen 
pengendalian sementaranya (TOL) adalah tidak mencukupi tanpa menuntut 
Lynas untuk menyatakan dengan jelas di mana sisa radioaktif kilang Lynas
 Advanced Materials Plant (LAMP) itu akan dieksportkan.
Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu 
menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada 
syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri.
 
 1. 
Kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP selagi syarikat 
tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah 
telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol 
mesti dipatuhi.
2. Kerajaan mesti menuntut surat atau dokumen perjanjian daripada 
Lynas untuk mengesahkan mereka sudah menjumpai negara yang sanggup 
menerima sisa-sisa radioaktif tersebut.
3. Kerajaan juga mesti menuntut Lynas memperjelaskan bagaimana 
syarikat tersebut mengatasi kekangan undang-undang antarabangsa yang 
menghalang penghantaran bahan berbahaya ke negara lain seperti yang 
dinyatakan pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad dalam laporan 
Guang Ming Daily.
Apakah Menteri Pahang sanggup berjanji sekali lagi untuk telinganya 
yang satu lagi dipotong dan terjun Sungai Pahang sekiranya Lynas gagal 
mengeluarkan apa-apa dokumen rasmi perjanjian, pelan dan negara mana 
yang sanggup menerima sisa toksik kilang LAMP?
Keadaan ini mesti ditangani segera, kerana bahan mentah nadir bumi 
telahpun sampai di kilang, dan syarikat Lynas akan memulakan operasinya.
PAS Pahang ingin tegaskan bahawa kerajaan mesti bertegas dalam soal 
keselamatan rakyat dan risiko dari projek ini.
 Rakyat Pahang khasnya bimbang sisa tersebut akan tetap berada di
 Pahang, kerana tiada negara sanggup menerimanya, sedangkan syarat lesen
 operasi ialah sisa toksik mesti dibawa keluar dari negara ini.
 
 Rakyat tidak akan teragak agak untuk berkumpul di hadapan kilang Lynas,
 sekiranya kilang ini memulakan operasinya tanpa menjelaskan ke mana 
sisa ini akan dihantar.
Rakyat Pahang ingin melihat surat rasmi dari Lynas dan kesediaan 
negara mana yang sanggup terima sisa bahaya ini. Ketiadaan negara 
sanggup menerima sisa membuktikan ianya bahaya bagi alam sekitar dan 
manusia, dan inilah yang rakyat perlu memahami kenapa Pakatan Rakyat 
bertegas menentang projek ini.
Tanpa surat rasmi akan timbul persoalan dan spekulasi - jika tiada 
negara yang sanggup menerimanya, dan demi meneruskan operasi harian 
untuk mematuhi syarat TOL, apakah ada kemungkinan sisa toksik Lynas 
dibuang ke perairan laut antarabangsa di Laut China Selatan sebagai 
langkah mudah? 
Wednesday, December 12, 2012
Australia Tidak Mahu Menerima Sisa Lynas
Posted by Suhaimi at 10:44 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment