
KUALA LUMPUR - Pos Malaysia akan melaksanakan waktu operasi baharu 
untuk perkhidmatan mel dan kaunter mulai 1 Januari depan bagi 
Semenanjung Malaysia dan 1 Februari bagi Sabah dan Sarawak.
 
 Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pos Malaysia Shukrie Salleh berkata, 
perubahan berkenaan melibatkan pertambahan waktu operasi selama 30 minit
 pada hari bekerja di kaunter cawangan pos seluruh negara bagi memberi 
lebih masa kepada pelanggan membuat transaksi serta menghantar mel dan 
kurier.
  
 Pada hari Sabtu pula waktu operasi dikurangkan kepada setengah hari 
berbanding waktu pejabat sebelum ini dan tiada sebarang operasi mel 
dilakukan pada hari tersebut, katanya dalam sidang media mengenai 
pelaksanaan operasi waktu tersebut di sini hari ini.
  
 Berikutan perubahan itu, semua cawangan Pos Malaysia di Semenanjung 
Malaysia akan beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari
 Isnin hingga Jumaat dan pada hari Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 1 
tengah hari (Ahad hingga Khamis bagi negeri Kedah, Kelantan dan 
Terengganu).
  
 Bagi Sabah dan Sarawak, cawangan pos akan beroperasi dari jam 8 pagi 
hingga 4.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan pada hari Sabtu 
dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
  
 "Bagaimanapun terdapat cawangan terpilih yang akan ditutup pada hari Sabtu melibatkan cawangan kecil di kawasan pedalaman.
  
 "Manakala cawangan pos yang terdapat di pusat membeli-belah akan beroperasi seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad," katanya.
  
 Pusat PosLaju juga akan dibuka seperti biasa pada hari Sabtu untuk penerimaan item kurier bagi tujuan penghantaran.
  
 Shukrie berkata pelaksanaan waktu operasi baharu ini merupakan 
sebahagian inisiatif Pos Malaysia untuk menyelaraskan operasinya 
berikutan perubahan tabiat penggunaan perkhidmatan mel serta memastikan 
ia dapat memenuhi kepuasan pelanggan.
  
 Ia juga bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di samping menggalakkan 
keseimbangan hidup kakitangan supaya mereka mempunyai lebih masa bersama
 keluarga dan sahabat handai.
  
 Pos Malaysia kini mempunyai kira-kira 16,500 kakitangan dan separuh daripadanya bekerja di bahagian pengurusan mel.
Monday, December 31, 2012
Pos Malaysia umum waktu operasi baru
Posted by Suhaimi at 10:32 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment