Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Tuesday, April 13, 2010

Berat berlebihan panjangkan umur manusia

SELAMA ini kita diberi peringatan tentang bahaya memiliki berat badan berlebihan. Sebuah kajian yang dijalankan di Australia sebaliknya mendapati golongan yang berumur 70 tahun ke atas yang memiliki berat badan berlebihan memperoleh jangka hayat tambahan sehingga 10 tahun lebih lama berbanding mereka yang sebaya dengan berat badan normal.



Kajian terbitan 28 Januari lalu di dalam Journal of the American Geriatrics Society itu bertentangan dengan kajian asal yang mencadangkan memiliki berat badan berlebihan mengundang pelbagai jenis penyakit, termasuk penyakit jantung.

"Kajian kami mencadangkan mereka yang berumur 70 tahun dan memiliki kesihatan yang baik berdepan dengan set risiko dan kebaikan yang berbeza mengikut jumlah lemak dalam tubuh berbanding golongan yang lebih muda," kata ketua pengkaji di Universiti Australia Barat, Leon Flicker.


KAJIAN mendalam terhadap tahap berat badan perlu diperhalusi mengikut keadaan kesihatan terkini.


Flicker dan pasukannya menghabiskan masa selama sedekad untuk mengumpul data kesihatan lebih 9,200 warga Australia berumur antara 70 hingga 75 tahun pada 1996 ketika kajian itu dimulakan. Australia berada pada kedudukan negara ketiga paling tinggi penghidap obesiti di dunia selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kajian itu memperhalusi berat badan berlebihan dan tahap obesiti berdasarkan indeks jisim tubuh (BMI), ukuran yang mempertimbangkan berat badan dan ketinggian. Empat kategori berat yang digunakan dalam kajian itu termasuklah berat badan kurang, berat badan normal, berat badan berlebihan dan obesiti.

Orang yang memiliki berat badan berlebihan berdepan dengan 13 peratus lebih rendah risiko kematian berbanding mereka yang memiliki berat badan normal.

Bagaimanapun, tiada kebaikan ditemui pada mereka yang menghidap obesiti.

Pengkaji juga mendapati pekerjaan yang lebih banyak dilakukan dalam posisi duduk menggandakan risiko kematian bagi wanita dan meningkatkan satu suku risiko bagi lelaki.

Susulan daripada penemuan itu, pengkaji mencadangkan sudah tiba masanya sistem yang menentukan sama ada seseorang itu memiliki berat badan berlebihan dan obesiti dinilai semula.



Sumber : Kosmo

0 comments: