Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Monday, April 19, 2010

Penyu Bantu Pulihara Ekosistem Laut


Oleh Intan Norasyikin Mohd Ariffin

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Sebanyak tiga daripada tujuh spesies penyu di dunia, termasuk yang terbesar, penyu Belimbing (Dermochelys coreacea) mendarat di pesisir pantai timur negara.

Dua lagi ialah penyu Agar (Chelonia mydas) dan penyu Karah (Eretmochelys imbricata).

Umum tahu bahawa populasi penyu kini diancam kepupusan terutama penyu Belimbing akibat faktor semula jadi dan ancaman manusia, namun masih ramai tidak faham kenapa ada pihak yang beria-ia mahu memelihara spesies ini daripada pupus.

Ketua Pasukan Projek Konservasi penyu Karah di Melaka Lau Min Min berkata penyu juga seperti haiwan lain memainkan peranan penting dalam memulihara keseimbangan ekologi secara langsung di lautan.

PEMANGSA UTAMA

Beliau memberi contoh penyu Belimbing yang amat penting dalam proses mengawal populasi obor-obor. Obor-obor ialah makanan utama penyu ini.

"Corak pemakanan ini, membantu mengurangkan jumlah pemangsa utama kepada anak ikan iaitu obor-obor.

"Ini bagi memastikan anak ikan dapat membesar lalu membekalkan ikan yang mencukupi bagi manusia," kata Lau.

Selain penyu Belimbing, penyu lain juga ada kepentingannya. Antara lain menurut Lau, penyu Karah berupaya memakan span laut yang terdapat dalam ekosistem terumbu karang. Span laut ini bersaing dengan terumbu karang lain bagi mendapatkan ruang, malah ia dilindungi oleh duri spina yang tajam lagi beracun.

"Pemakanan penyu Karah ini penting dalam kawalatur ekologi terumbu karang. Ia membolehkan ikan-ikan memakan span laut yang mana lapisan durinya telah dimakan oleh penyu terlebih dahulu," demikian jelas Lau.

Ketiadaan penyu Karah membolehkan span laut membiak lebih agresif lalu menguasai ekosistem terumbu karang yang juga menyediakan makanan kepada ikan.

PENUNJUK RANTAIAN EKOSISTEM LAUT

Antara peranan penyu terhadap ekosistem ialah bertindak sebagai spesies petunjuk dalam ekosistem dengan ia menunjukkan sebarang tanda perubahan disebabkan perubahan persekitaran.

Pegawai Projek Penyelidikan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, Terengganu Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata rantaian ekosistem bermaksud rangkaian yang saling mengikat antara satu sama lain, dan jika satu daripadanya hilang maka ia akan memusnahkan hidupan laut yang lain juga.

"Ini bermakna kehadiran penyu boleh menunjukkan tanda perubahan dalam bentuk taburan kehidupan laut dan kelimpahan yang menunjukkan ancaman telah berlaku ke atas keseluruhan ekosistem," katanya.

Begitu juga penyu Tempayan yang banyak memakan haiwan invertebrata, khususnya krustasea (seperti udang galah, ketam laut), obor-obor, span laut dan batu karang lembut yang hidup di dasar laut. Bentuk pemakanan ini boleh mempengaruhi taburan serta kelimpahan spesies kawasan ekosistem pantai.

Cengkerang penyu pula menjadi tempat bernaung bukan sahaja bagi haiwan yang lain tetapi juga tumbuhan laut. Menurut Syed Abdullah sebanyak 100 jenis haiwan dan tumbuhan marin direkodkan hidup atas cengkerang penyu.

"Jelas kita dapat melihat bagaimana masa depan bagi banyak spesies di lautan berkaitan erat dengan kelangsungan hidup penyu," kata Syed Abdullah.

Najis penyu juga menjadi baja kepada rumpai laut supaya dapat membiak dan tumbuh dengan lebih banyak lagi.

Menurut Syed Abdullah, jika penyu pupus di sesuatu zon, rantaian makanan di kawasan itu pasti terganggu dan membawa kepupusan kepada populasi ikan yang menjadi sumber protein kepada manusia.

PENYU BELIMBING DI AMBANG KEPUPUSAN

Walaupun ramai yang tidak tahu atau tidak mengambil berat betapa pentingnya spesies penyu dalam alam kehidupan, masih ada yang sayang pada haiwan ini.

Penyelidik Unit Penyu Laut (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu Dr Juanita Joseph berkata proses pemuliharaan penyu berterusan sejak tahun 1950-an, namun hasilnya belum dapat dilihat kerana proses kematangan penyu mengambil masa antara 25 dan 50 tahun.

"Kami di Seatru semakin giat menjalankan aktiviti pemuliharaan penyu di Pulau Redang sejak 1993."

Bagaimanapun, Dr Juanita berkata Malaysia mungkin kehilangan penyu Belimbing.

"Buat masa ini, kita masih lagi mempunyai penyu Agar dan penyu Karah. Persarangan untuk spesies ini juga menurun jika dibandingkan pada tahun 50-an.

"Negara lain pun menunjukkan penurunan juga. Tapi kita berharap langkah pemuliharaan yang kita ambil pada masa kini akan mendatangkan hasil," kata Dr Juanita.

0 comments: