
Jika anda sakit, apa yang anda lakukan? Tentunya anda berusaha untuk  sembuh daripada sakit itu, bukan? Biasanya anda akan berjumpa doktor  atau ahli farmasi, dan mereka akan mencadangkan ubat-ubatan serta kaedah  rawatan tertentu untuk menyembuhkan penyakit itu.
Tahukah anda  hakikat sebenar bahawa tubuh badan kitalah yang bertindak menyembuhkan  penyakit yang datang menyerang itu? Ubat-ubatan yang kita ambil itu   hanyalah sebagai alat bantu untuk menolong tubuh melawan kuman atau  benda asing yang memasuki tubuh, ataupun mengembalikan semula mana-mana  sistem dalam tubuh yang gagal berfungsi dengan sempurna.
Mari kita  lihat bagaimana sistem pertahanan tubuh bekerja untuk memelihara  kesihatan tubuh kita pada setiap saat dan ketika.
Sistem  pertahanan dalam tubuh yang disebut sebagai sistem imunisasi atau sistem  kekebalan tubuh boleh ditamsilkan seperti sistem pertahanan dalam  sesebuah negara. Untuk mengekalkan kedaulatan sesebuah negara, para  perajurit mestilah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang  ancaman dari luar mahupun dari dalam negara itu sendiri. Sekiranya para  perajurit lemah, maka pastilah negara akan hancur dan akhirnya ditakluki  oleh musuh.
Sistem yang Tak Pernah Tidur
Tanpa kita sedari,  sebenarnya berjuta-juta tindak balas berlaku dalam tubuh kita pada  setiap detik, termasuklah ketika tidur. Satu daripada tindak balas  tersebut ialah sistem pertahanan badan atau sistem kekebalan yang  menjalankan misi utama dalam kemandirian kehidupan kita di muka bumi  ini. Kita mungkin  tidak menyedarinya, tetapi ia melindungi diri kita  seumpama sebuah pasukan perajurit yang lengkap bersenjata. 
Sistem  kekebalan didefinisikan sebagai ‘perajurit yang sangat berdisiplin,  teratur dan bekerja keras melindungi tubuh manusia dari serangan musuh  luar’. Perajurit ini telah pun ‘dilatih’ di ‘pusat latihan’ khusus yang  dikenali sebagai sumsum tulang, limpa, kelenjar timus dan kelenjar  limfa. Perajurit ini disebut makrofag dan limfosit.
Makrofag akan  memusnahkan musuh dengan cara menelannya. Ia kemudian mengajak sel-sel  pertahanan lain untuk turut sama di medan pertempuran. Peperangan yang  hebat ini menyebabkan suhu badan manusia meningkat (demam). Pada  peringkat ini, manusia perlu berehat untuk memberi lebih banyak tenaga  kepada sel-sel pertahanan untuk terus memerangi musuh.
Sekiranya  musuh yang berjaya memasuki sistem tubuh begitu kuat dan banyak  jumlahnya, maka limfosit akan campur tangan. Limfosit akan mengeluarkan  pelbagai jenis senjata yang diperlukan untuk memerangi musuh sehingga  selesai.
Pada waktu ini, sel-sel pertahanan dalam tubuh kita  memerlukan tenaga yang cukup banyak untuk membolehkan operasi berjalan  lancar. Selain berehat, kita perlu meminum air yang banyak dan mengambil  makanan berkhasiat untuk memberi tenaga tambahan kepada sel-sel  tersebut.
Pada saat ini, misi pasukan pertahanan belum berakhir.  Terdapat sel-sel perajurit yang bertugas menyimpan maklumat tentang  musuh itu dalam memori mereka untuk bertahun-tahun lamanya. Hal ini  diperlukan untuk membolehkan sistem kekebalan segera menyusun pertahanan  melawan musuh yang sama jika ia datang menyerang lagi.
   
Sistem  Pertahanan Organ
Setiap organ mempunyai sistem pertahanannya yang  tersendiri. Apabila kulit mengalami luka, sel-sel pertahanan dengan  segera bergerak ke kawasan tersebut untuk memerangi sel-sel asing dan  membuang sisa-sisa jaringan yang rosak. Seterusnya, sejumlah sel-sel  pertahanan yang lain meningkatkan pengeluaran fibrin, iaitu sejenis  protein yang dengan cepat menutup kembali luka itu dengan jaringan  berserat.
Peluh yang keluar dari kulit bukan saja berperanan  untuk menurunkan suhu tubuh, tetapi juga menyediakan zat makanan bagi  kulat tertentu yang hidup di permukaan kulit dan seterusnya menghasilkan  bahan bersifat asid seperti asid laktat yang membantu menurunkan tahap  pH kulit. Medium bersifat asid ini menyediakan persekitaran yang tidak  disukai oleh bakteria.
Jalan lain mikro organisma memasuki tubuh  ialah melalui saluran pernafasan. Ketika udara disedut masuk ke dalam  paru-paru, berjuta-juta mikro organisma turut masuk. Tetapi dengan  adanya rembesan mukosa pada hidung, ia mampu menapis antara 80-90  peratus mikro organisma yang memasuki sistem pernafasan. Mikro organisma  yang terlepas dan sampai ke paru-paru pula akan ditelan oleh fagosit  dan seterusnya dihapuskan dari tubuh.
Sebahagian mikro organisma  yang agak kebal berjaya memasuki sistem pencernaan. Pada ketika ini ia  akan dihapuskan oleh asid perut, manakala selebihnya dimusnahkan oleh  enzim pencernaan ketika melalui usus kecil.
Menghancurkan Musuh  dengan Musuh Lain
Selain mikro organisma berbahaya yang mendatangkan  penyakit kepada manusia, sebenarnya terdapat berjuta-juta lagi mikro  organisma yang menumpang hidup di tubuh manusia yang tidak membahayakan  dan tidak merugikan. Kelompok mikro organisma ini berkumpul di  bahagian-bahagian tubuh tertentu, disebut flora tubuh.
Apabila mikro  organisma yang tidak diingini oleh tubuh datang menyerang, secara tidak  langsung ia turut mengancam kehidupan flora tubuh ini. Apabila hal ini  berlaku, flora tubuh tidak akan berdiam diri, sebaliknya menyerang mikro  organisma asing ini yang menjadi ancaman kepada mereka. Hal ini memberi  manfaat kepada manusia apabila mendapat bantuan ‘tentera tambahan’  secara percuma.
Antibodi
Antibodi merupakan ‘senjata’ yang  terdiri daripada protein dan dibentuk untuk melawan sel-sel asing yang  masuk ke tubuh manusia. Senjata ini dihasilkan oleh sekelompok sel-sel  perajurit dalam sistem kekebalan. Antibodi akan menghancurkan musuh  dengan cara mengikatkan dirinya kepada sel-sel musuh atau merosakkan  struktur biologi musuh lalu menghancurkannya.
Tubuh manusia mampu  menghasilkan antibodi yang sesuai dengan setiap musuh. Ini bererti  antibodi yang berbeza dihasilkan untuk memusnahkan musuh yang berbeza.  Contoh antibodi dalam tubuh kita ialah IgG (Imuno globulin pergi). Ia  terhasil dalam masa beberapa hari selepas serangan dan mampu bertahan  antara beberapa minggu hingga beberapa tahun lamanya. IgG beredar dalam  tubuh dan banyak terdapat pada darah, sistem limfa, dan usus. IgG mampu  melindungi tubuh daripada  serangan bakteria dan virus, serta  meneutralkan asid yang terdapat dalam racun. Selain itu, IgG mampu  menyelinap di antara sel-sel dan menyingkirkan bakteria serta musuh  mikro organisma yang masuk ke dalam sel-sel dan kulit. IgG juga dapat  masuk ke dalam plasenta ibu hamil dan melindungi janin dari kemungkinan  jangkitan mikro organisma.
Kehancuran Sistem Pertahanan
Kini  terdapat sejenis virus yang mampu melumpuhkan sistem pertahanan tubuh  sehingga tubuh hilang kekebalan daripada apa jua mikro organisma. Virus  yang disebut sebagai HIV (Human Immunodeficiency Virus) ini menular  kepada seseorang melalui tiga cecair tubuh iaitu darah, sperma dan  cecair vagina.
Apabila virus HIV ini masuk ke dalam aliran darah,  ia akan menyerang dan membunuh sel-sel limfosit yang disebut T4. Virus  ini terus menggandakan dirinya dan membunuh sel-sel T4 lainnya sehingga  jumlahnya menjadi begitu banyak di dalam darah dan akhirnya melumpuhkan  sistem pertahanan tubuh.
Pada ketika sistem kekebalan tubuh   menjadi sangat rendah, seseorang itu sangat terdedah kepada apa juga  penyakit. Malah penyakit-penyakit yang tidak berbahaya kepada orang  sihat sebaliknya menjadi berbahaya kepada penghidap HIV.
Perubatan  Moden dan Antibiotik
Pakar-pakar perubatan moden mencipta kejayaan  dalam bidang ini dengan penemuan pelbagai jenis ubat-ubatan serta  antibiotik bagi melawan kuman yang masuk ke dalam tubuh. Namun di  sebalik kejayaan itu, terdapat begitu banyak kelemahan dan kepincangan  yang akhirnya membahayakan nyawa manusia itu sendiri. Misalnya,  ubat-ubatan moden diketahui menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang  boleh merosakkan organ dalaman terutama hati dan buah pinggang.
Antibiotik  pula telah menyebabkan kuman-kuman penyebab penyakit menjadi resistan  sehingga antibiotik yang cukup kuat diperlukan untuk memusnahkan  kuman-kuman tersebut. Akhirnya antibiotik yang diambil tidak lagi mampu  membunuh kuman penyebab penyakit, sebaliknya kuman-kuman ‘baik’ yang  diperlukan oleh tubuh yang menjadi korban.   
Negara-negara maju  pada hari ini tidak lagi menggunakan antibiotik dengan  sewenang-wenangnya sebagaimana yang berlaku di negara-negara mundur dan  membangun. Apa yang dilakukan ialah mengamalkan gaya hidup sihat,  terutamanya mengambil makanan yang berkhasiat bagi membantu tubuh  melawan kuman yang datang menyerang.
Sumber : Ukhwah.com
Wednesday, April 21, 2010
Keajaiban Sistem Pertahanan Tubuh.
Posted by Suhaimi at 9:38 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
0 comments:
Post a Comment