Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, April 25, 2010

Tuan Guru Nik Aziz - menangkis fitnah Utusan Malaysia


KENYATAAN RASMI PEJABAT MENTERI BESAR KELANTAN

Bismillahirahmanirrahim.

1. Sukacita saya merujuk kepada 'head-line' muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, 24 April 2010 yang memakai tajuk besar "Pembangkang Ingkari Sultan” yang turut memutar-belitkan fakta kononnya dipetik kenyataan Mursyidul Am Pas selaku Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

2. Petikan yang disertakan di bawah tajuk demikian jelas sekali berniat serong dan jahat serta bertujuan untuk mencemarkan imej Menteri Besar Kelantan dengan melaga-lagakan kenyataan beliau dengan titah KDYMM Sultan Selangor.

3. Sukacita saya menjelaskan punca kekeliruan dan salah petik itu adalah ekoran daripada kenyataan YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan di Kuala Kubu Bharu hanyalah memberikan respon kepada pertanyaan wartawan berkenaan isu ucapan yang berunsurkan politik di dalam masjid dan surau.

4. Sehubungan itu, YAB Tuan Guru berulang kali seperti mana sebelumnya sentiasa menegaskan bahawa hakikat Islam itu adalah merangkumi semua aspek hidup manusia, tidak boleh dipisah-pisahkan. Sebagaimana amal ibadah ditetapkan peraturannya di dalam Islam, begitulah juga Islam mempunyai aturan hidup di dalam ekonomi, kekeluargaan dan juga tidak ketinggalan aturan politik. Oleh itu, apabila bercakap Islam di dalam masjid/surau, tidak boleh tidak kena menyentuh sama soal politik. Ini kerana urusan politik dan pemerintahan di sisi Islam adalah urusan agama seperti juga urusan muamalat, munakahat, keadilan, ekonomi dan sosial serta perundangan.

5. YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar tidak bermaksud untuk mengingkari sebarang larangan pihak berkuasa negeri, termasuk KDYMM Sultan Selangor.

6. Apa yang cuba dijelaskan ialah kefahaman Islam sebenar yang tidak boleh dipisah-pisahkan antara urusan agama dengan urusan politik atau siasah. Kerana di dalam Islam turut mengandungi ajaran politik Islam. Oleh itu, soal politik tidak boleh dipisahkan daripada diajar di dalam Islam. Masjid adalah pusat pengajian agama, dan dalam pengajian agama termasuk sama kitab-kitab politik Islam seperti "Min Fiqh al-Daulah Fi al-lslam" karangan Dr. Yusuf al-Qaradawi. Sudah pasti pengajarannya menyentuh soal-soal kepimpinan, peranan institusi masjid, perundangan dan pentadbiran kerajaan. Semuanya tidak salah disebut dan diajar di dalam masjid.

7. Sebenarnya, YAB Tuan Guru Dato’ sentiasa berpegang dengan prinsip Islam sebenar bahawa politik kepartian tidak boleh disebut di dalam masjid bagi mengelakkan sebarang perpecahan dan suasana yang tidak harmoni. Namun, apabila memisahkan institusi masjid daripada sebarang program ilmu untuk mengajar politik Islam adalah satu tindakan berasaskan fahaman sekular warisan penjajah.

8. Kenyataan YAB Tuan Guru Dato’ kelmarin adalah sama sekali tidak berkaitan dengan larangan KDYMM Sultan Selangor supaya masjid dan surau tidak digunakan untuk berkempen seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia itu. Saya kesal dengan laporan pemberitaan tersebut dan berharap pihak akhbar berkenaan tidak menjadikan ruang pilihan raya kecil ini sebagai ruang adu-domba bagi kepentingan pihak tertentu.

Sekian, wassalam.

Dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 24 April 2010

0 comments: