Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, April 4, 2010

Chelsea Benamkan MU di Old Trafford


PENYERANG Chelsea, Didier Drogba meraikan kejayaan pasukannya membenam United di Old Trafford semalam. Chelsea menang 2-1.

MANCHESTER - Didier Drogba muncul wira apabila meledak gol kemenangan Chelsea bagi menewaskan Manchester United 2-1 dalam saingan Liga Perdana England di Old Trafford semalam.

Drogba yang masuk selaku pemain gantian pada separuh masa kedua, membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan gol pada minit ke-79.

Begitupun, jaringan yang dilakukan oleh Drogba itu menimbulkan kontroversi setelah dia dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

Sebelum itu, Joe Cole terlebih dahulu meletakkan The Blues di depan menerusi jaringannya pada minit ke-20.



United yang tersentak dengan dua gol Chelsea itu dilihat memperkemaskan jentera serangan mereka dan kemasukan penyerang muda, Federico Macheda ternyata membuahkan hasil apabila dia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-81.

Namun jaringan daripada Mecheda itu dianggap sudah terlambat untuk United sekurang-kurangnya mengikat Chelsea dengan keputusan seri.

Hasil kemenangan itu, Chelsea berjaya merampas kedudukan selaku pendahulu liga dengan mengumpul 74 mata, dua mata meninggalkan United di tangga kedua.

"Saya memang kecewa dengan kekalahan ini. Ini semua disebabkan oleh mutu pengadilan yang kurang memuaskan sehingga kami tewas," jelas pengurus United, Alex Ferguson.

Dengan ketiadaan penyerang berbisa, Wayne Rooney, anak-anak buah Ferguson ternyata semakin tertekan ketika ini memandangkan mereka akan beraksi dalam saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Old Trafford, awal pagi Khamis ini.

Pada aksi suku akhir pertama Rabu lalu, United tewas 1-2 di Allianz Arena, Munich.

"Biarpun kini kami terpaksa melihat Chelsea merampas kedudukan selaku pendahulu liga, kami tetap akan memastikan bahawa kami tidak akan tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara," kata Ferguson.

Sumber : Kosmo

0 comments: