Sumber Tranungkite
"Saya bukanlah ahli politik. Jauh sekali untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya.
Namun itu tidak menghalang saya untuk berperanan ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih maju dan berjaya pada masa akan datang.
Ada orang tanya saya, "Doktor ni kempen terang-terangan kat facebook, tak takut kena tindakan ke?".
Ya, saya juga takut seperti orang lain.
Saya juga khuatir, tindakan saya ini akan menyebabkan saya ditukarkan ke kawasan pedalaman.
Mungkin ada yang berfikir saya lebih wajar berdiam diri kerana sudah punya kerjaya dengan gaji yang agak baik, punyai kereta dan rumah, apa lagi yang dimahukan? Namun, berdiam diri bukanlah satu pilihan, kerana hidup ini bukanlah hidup saya seorang.
Saya ada isteri dan anak yang perlu difikirkan kemaslahatan mereka, baik sewaktu saya masih di sisi mereka ataupun sewaktu saya telah tiada nanti.
Harapan diri ini hanyalah untuk melihat negara Malaysia yang lebih sejahtera dan makmur pada masa akan datang untuk zuriat keturunan saya.
"Alah, buat apa mengundi doktor. PR dan BN same je. Dua-dua akan guna kuasa untuk mengayakan kroni".
"Saya tak mahu mengundi. BN terlalu korup. PR pula tak begitu meyakinkan"
Anda tentu pernah dengar dialog-dialog sebegini.
Dialog yang mewakili golongan atas pagar yang tidak mengundi dalam pilihanraya.
Ya, saya setuju bahawa dalam BN atau PR, pasti ada golongan opportunis yang menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, kerana 'magnet' kepada puak-puak ini adalah kuasa.
Mereka akan menempel pada parti yang dirasakan berpeluang untuk menang.
Namun saya lebih suka melihat pilihanraya kali ini bukanlah kepada pemilihan untuk menukar pemerintah dari Parti A kepada parti B semata-mata.
Ia adalah usaha kita untuk sama-sama mewujudkan iklim politik yang lebih sihat dan baik untuk memacu kemakmuran.
Tidak kiralah sesiapa yang memerintah, iklim yang baik inilah yang akan memastikan mereka (pemimpin politik) memberikan yang terbaik untuk kita.
Seperti yang kita semua sedia maklum, suasana politik Malaysia hari ini masih banyak kelemahannya yang perlu untuk kita sama-sama baiki.
Pihak yang berkuasa sekarang (Barisan Nasional) mempunyai penguasaan penuh terhadap media massa seperti TV, dan akhbar perdana.
Segala berita yang menceritakan kebaikan Pakatan Rakyat (PR) digelapkan terus.
Yang ditonjolkan hanyalah kelemahan PR dan kebaikan BN.
Saya ada satu soalan untuk pembaca budiman sekalian.
Tanpa maklumat dari kedua-dua belah pihak, bolehkah rakyat Malaysia membuat pilihan yang terbaik?
Untuk pembelian sesuatu produk, kita pastinya ingin mendapatkan maklumat kelebihan/kekurangan sesuatu jenama sebelum membuat pilihan, maka dalam proses memilih kerajaan, mengapakah kita tidak mahu mengambil proses yang sama?
Untuk mereka yang punya akses internet yang lebih terdedah dengan info dan maklumat dari PR, mungkin tidak menjadi masalah, namun adilkah sistem sekarang kepada orang-orang kampung, yang hanya mengharapkan maklumat daripada kaca-kaca televisyen dan dada akhbar?
Satu undi saya untuk Pakatan Rakyat adalah untuk media yang lebih adil, untuk membolehkan semua membuat keputusan yang terbaik.
Alhamdulillah, daripada tahun 2004 hinggalah 2009 saya diberikan kesempatan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Perubatan ke England.
Atas kesempatan itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang diterajui Barisan Nasional.
Saya yakin apa yang dimahukan daripada kami selaku pelajar adalah manfaat dan kebaikan yang boleh dicedok semaksimum mungkin daripada negara orang putih itu untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Di England, dua buah parti utama yang saling silih berganti adalah parti 'Labour' dan 'Conservative'.
Sistem ini dipanggil sistem dua parti 'two party system'. Kedua-dua parti ini saling bersaing untuk memberikan yang terbaik buat rakyat.
Mereka juga berlumba-lumba mendedahkan segala salah laku yang dibuat oleh pihak lawan. Mana-mana parti yang dilihat kurang berkesan peranannya sebagai kerajaan, akan dihukum pada peti undi.
Atas sebab itulah, sebarang bentuk salah laku amat dipandang berat oleh parti pemerintah kerana ia boleh saja membolehkan parti tersebut kehilangan tampuk kuasa.
Sebarang salah laku yang dilakukan pasti menyebabkan orang yang terlibat meletakkan jawatan hasil tekanan daripada rakan seperjuangan serta pihak lawan.
Bukankah ini cara terbaik untuk mendisiplinkan ahli politik? Namun, di Malaysia, hal yang sama tidak berlaku. Akibat daripada penguasaan satu parti sahaja (Perikatan dan BN) sejak merdeka, salah laku dan penyalahgunaan kuasa adalah sesuatu yang biasa yang diterima.
Ahli-ahli politik yang didapati bersalah mengamalkan rasuah boleh saja diberi peluang untuk menerajui GLC (government linked company) adalah sebahagian daripadanya.
Kita semua tahu kepincangan ini namun, akibat tiadanya pembangkang (sebelum PRU 13) yang betul-betul berkaliber, rakyat tiada pilihan melainkan Barisan Nasional untuk terus menerajui negara.
Maka undi saya kali ini kepada Pakatan Rakyat, adalah untuk membolehkan sistem dua parti berjalan di Malaysia.
Sekiranya terbukti PR gagal melaksaknaan amanah mereka, kita akan hukum mereka pada PRU ke 14 nanti.
Maka undi saya kali ini adalah untuk iklim politik yang kebih baik. Ini kalilah!!!
Thursday, May 2, 2013
Saya Bukan Ahli Politik Tapi Ini Kalilah...
Posted by Suhaimi at 10:43 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment