Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, May 15, 2013

Umcedel jangka persempadan semula sasar kawasan CIna


Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangka akan dijalankan lewat tahun ini mungkin melibatkan sempadan baru untuk menghimpunkan pengundi Cina dalam kawasan berasingan, bagi mengurangkan kesan yang dinamakan “tsunami Cina”.

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Prof Mohd Redzuan Othman menjangkakan demikian berdasarkan kenyataan pemimpin BN ekoran kegagalan parti itu untuk meraih majoriti dua pertiga di parlimen dalam pilihan raya 5 Mei.

“(Dalam persempadanan semula sebelum ini) mereka menyedari bahawa terdapat ramai orang Melayu yang menyokong pembangkang. Jadi apa yang mereka buat adalah (membentuk semula) sempadan untuk mengadakan lebih banyak kawasan campuran, dan ia berhasil untuk mereka.

"Oleh yang demikian, mereka mungkin membentuk semula sempadan untuk menarik pengundi Cina ke satu kawasan supaya mereka boleh menumpukan kerusi dan kawasan lain,” katanya dalam satu forum untuk membincangkan keputusan pilihan raya umum ke-13 itu.

Redzuan juga berkata kemenangan memberangsangkan Pakatan Rakyat di Selangor seharusnya dikaitkan dengan mutu perkhidmatan dan populariti menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tambahnya, kajian Umcedel pada 2012 menunjukkan Khalid amat popular di kalangan warga Selangor.

“Dari segi negeri Pakatan, persepsi dan prestasi MB sangat penting,” katanya.

Tambahnya, populariti menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kalangan warga Kelantan juga tinggi – sehingga 70 peratus – sebelum pilihan raya dijalankan.

Redzuan dan Umcedel sebelum ini menerima kritikan dari ahli akademik ekoran keputusan kajian yang menyebut populariti ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatasi populariti pengerusi BN Datuk Najib Razak.

Redzuan bagaimanapun menjelaskan, keputusan pilihan raya 5 Mei menunjukkan bahawa kajian yang dijalankan pasukannya itu hampir tepat.

“Anda boleh lihat hampir 5 peratus perbezaan dari segi undi popular, yang bermakna (kajian) kami hampir tepat,” katanya.

0 comments: