Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Friday, July 6, 2012

Isu LRT: Utamakan keselamatan rakyat, Rafizi gesa polis Siasat

rafizi ramli
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, tindakan polis yang kelihatan lebih mementingkan kerajaan Barisan Nasional (BN)-Umno berbanding keselamatan rakyat bakal mengundang bahaya kepada jutaan pengguna ekoran keengganan penguatkuasa itu menyiasat Perdana Menteri.

Menurut beliau, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menolak mentah-mentah dari menyiasat campurtangan Perdana Menteri dalam anugerah kontrak kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang, sebaliknya segera menubuhkan pasukan khas mahu menyiasat kebocoran maklumat sulit negara apabila dokumen tender diketahui umum. 

“Saya kesal dengan kenyataan Mohd Bakri kononnya kebocoran maklumat sebegini menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara. 

“Apakah beliau tidak memahami bahaya kepada jutaan orang awam yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang sekiranya sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman di dalam sistem LRT dianugerahkan kontrak ini?"katanya.

Rafizi juga menyoal sama ada Mohd Bakri berani mengambil risiko menaiki LRT sistem laluan Ampang setiap hari ke tempat kerja sekiranya beliau sedar bahawa seluruh kerja-kerja pembinaan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air.

“Paling dikesali, pimpinan PDRM tidak pula bergegas mahu menyiasat kebocoran maklumat pertahanan negara apabila dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara dijual kepada syarikat asing seperti yang didedahkan di Mahkamah Perancis baru-baru ini. 

"Jelas sekali, kepimpinan PDRM berbeza pendapat dengan rakyat Malaysia mengenai makna sebenar kepentingan awam," katanya lagi. Semalam, Mohd Bakri dipetik berkata, polis memandang serius pendedahan dokumen rahsia tersebut kerana dokumen yang telah dikelaskan sebagai rahsia kerajaan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan kepentingan negara.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, beliau sedar tanggungjawab yang perlu digalas dan risiko yang perlu dihadapi dan nyawa jutaan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem LRT laluan Ampang adalah terlalu berharga serta perlu dipertahankan sehinggalah kontraktor yang layak dan berkemahiran dilantik bagi projek ini.

 “Sebarang usaha untuk menakut-nakutkan saya dan rakan-rakan dari terus membongkar skandal ini adalah sia-sia.

 “Saya akan meneruskan siri pendedahan seterusnya pada hari Isnin 9 Julai 2012 seperti biasa. Malah, mulai minggu depan kami akan mula turun ke stesen-stesen LRT untuk mengedarkan risalah maklumat dan melancarkan kempen Utamakan Keselamatan Rakyat di seluruh LRT laluan Ampang,” katanya.

0 comments: