Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, July 25, 2012

JK Pemantau: 'SYABAS beroperasi di bawah keupayaan'

Pemantauan  Jawatankuasa Pemantauan Air yang diketuai oleh setiausaha kerajaan Selangor terhadap operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) telah mendapati SYABAS 'beroperasi di bawah keupayaan', kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, dalam laporan pertama jawatankuasa itu yang dihantar kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini mengandungi tiga penemuan utama yang perlu diberi perhatian "agar rakyat tahu kedudukan sebenar".

Menurut menteri besar, tiga penemuan utama tersebut ialah:

  • Keupayaan pengeluaran semua 34 loji ialah 4,807 juta liter   sehari berbanding  keupayaan agihan SYABAS 4,371 juta liter sehari iaitu lebihan 436 JLH. Ini bermaksud, katanya, SYABAS beroperasi di bawah keupayaan sebenar.
  • Projek Mitigasi I yang telah dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya Mac 2013 akan meningkatkan pengeluaran kepada 5, 139 JLH iaitu penambahan 332 JLH atau lebihan 768 JLH berbanding keupayaan agihan SYABAS.
  • Fakta peratusan rizab air sebanyak 2 peratus yang dilaporkan SYABAS tidak tepat dan mengelirukan.  Rizab kapasiti pengeluaran sebenar  pada masa ini adalah 11 peratus dan akan meningkat kepada 18 peratus selepas Mac 2013 apabila projek mitigasi siap sepenuhnya.
Jawatankuasa itu, yang diketuai Datuk Khusrin Munawi dan turut dianggotai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS), telah menjalankan pemantauan terhadap operasi SYABAS bermula 18 Julai lalu.

"Penemuan ini membuktikan SYABAS telah gagal memenuhi tanggungjawab untuk membekalkan air terawat yang secukupnya kepada pengguna seperti yang dipersetujui dalam Penjanjian Penswastaan Air 2004," kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Selangor di Shah Alam hari ini.

Kegagalan itu, tambahnya, menguatkan lagi rancangan kerajaan negeri untuk 'masuk campur’ dalam pengurusan SYABAS yang menurutnya bertujuan membaiki semua kelemahan termasuk syor supaya pengerusi dan ketua pegawai eksekutif SYABAS dipecat.

Bagi tujuan ini, kata menteri besar, kerajaan negeri telah selesai menyediakan dokumen-dokumen untuk 'masuk campur' dalam pengurusan SYABAS dan "pasukan yang mewakili kerajaan negeri bagi tujuan ini juga sudah bersiap sedia untuk menyertai pengurusan SYABAS bila-bila sahaja bagi membaiki kelemahan".

"Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan supaya kuasa meluluskan sebarang permohonan berkaitan pelaksanaan Projek Langat 2 hendaklah dibawa terus kepada Pihak Berkuasa Negeri.

"Semua agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Hutan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan
lain-lain agensi yang berkaitan untuk merujuk terus sebarang permohonan berkenaan Projek Langat 2 kepada menteri besar," katanya.

Khalid berkata, fakta sebenar yang menurutnya tidak boleh dinafikan semua pihak dalam isu air ini ialah kegagalan SYABAS merancang dan mengurus sistem agihan untuk menyalurkan air terawat kepada pengguna.

"Saya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama beberapa Exco untuk bertemu rakyat bagi mencari penyelesaian masalah air termasuk membawa tangki air ke kawasan yang telah bertahun-tahun berdepan kekurangan bekalan air," katanya.

Kerajaan negeri juga, tambahnya, menyediakan talian 1-8000-88-2824  untuk orang ramai mengadu masalah air. Pusat panggilan ini juga mengendalikan masalah sampah.

"Kerajaan Selangor konsisten dengan pendirian bahawa isu air ini boleh diselesaikan secara holistik sekiranya kerajaan negeri mengambilalih industri air daripada syarikat-syarikat

konsesi yang akan menawarkan pembekalan air yang lebih cekap pada harga munasabah seperti yang dihasratkan WSIA 2006," katanya.

0 comments: