Oleh Metro
LONDON - Manchester City telah menawarkan Zlatan Ibrahimovic kontrak empat tahun bernilai £96 juta (RM476 juta) dengan gaji hampir £500,000 (RM2.5 juta) seminggu.
Kontrak lumayan tersebut bakal menyaksikan penyerang Barcelona itu menerima bayaran paling mahal di dunia dengan pendapatan £24 juta (RM119 juta) setahun.
Jumlah itu sekali gus mengatasi pendapatan pemain bintang yang lain seperti penyerang Barca, Lionel Messi serta dua tonggak Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan Kaka.
Wakil City telah mengemukakan tawaran tersebut secara terus kepada pengurus Ibrahimovic, Mino Raiola bagi menunjukkan kesungguhan mereka mendapatkan pemain kebangsaan Sweden itu.
Tawaran besar itu juga adalah lebih banyak daripada pendapatan 11 juta euro (RM45 juta) setahun yang diterima Ibrahimovic di Nou Camp.
Ibrahimovic kurang gembira di Barcelona meskipun baru menyertai kelab Sepanyol itu musim lepas dengan harga 50 juta euro (RM204 juta) yang mana turut menyaksikan perpindahan Samuel Eto'o dari Barcelona ke Inter Milan.
Penyerang yang suka berahsia itu berselisih faham dengan jurulatih Barca, Pep Guardiola, Februari lepas dan sehingga kini hubungan kedua-duanya masih renggang.
Ibrahimovic dikatakan bengang kerana jarang diturunkan dalam skuad utama serta berselisih pendapat dengan jurulatih tersebut mengenai gaya permainan Barca.
Jadi, peluang untuk membina semula kariernya bersama sebuah kelab baru yang mahu memberi saingan di Eropah, dilihat satu tawaran yang menarik buat Ibrahimovic terutama dengan jumlah gaji yang ditawarkan.
Dia juga pernah bermain di bawah bimbingan pengurus City, Roberto Mancini di Inter Milan.
Sumber yang rapat dengan Ibrahi- movic berkata: "Idea untuk berpindah ke sebuah kelab yang mahu mengukir sejarah baru dalam saingan Eropah sudah pasti sesuatu yang menarik minatnya.
"City perlu mendapat persetujuan dengan Barcelona dahulu sebelum ia dapat diteruskan lebih lanjut. Diharapkan ia dapat dilakukan secepat mungkin."
Penyerang Brazil yang kurang gembira di City, Robinho mungkin akan berpindah ke Barcelona sebagai pertukaran dalam perjanjian tersebut. - Agensi
0 comments:
Post a Comment