Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, August 1, 2010

Tengku Abdullah, Anuar Musa Dipilih Timbalan Presiden FAM

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Sultan Ahmad Shah (tiga, kiri) bersama Tan Sri Annuar Musa (tiga, kanan) bergambar bersama empat naib presiden persatuan yang baharu selepas majlis pemilihan pada Majlis Kongres FAM ke -47 di Shah Alam pada Sabtu. Barisan muka baru yang dipilih untuk memimpin FAM bagi penggal 2010/2014 berazam untuk bekerja keras bagi memajukan dan menjadikan sukan ini sebagai agenda nasional. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kembali ke pangkuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden bersama Tan Sri Annuar Musa, pada pemilihan barisan kepimpinan badan induk bolasepak negara bagi penggal 2010/2014.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan presiden yang disandang baginda sejak 1984, apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup 18 Julai lalu.

Pada pemilihan dalam kongres tahunan FAM kali ke-47 yang berlangsung di sebuah hotel di sini Sabtu, Tengku Abdullah mendapat 29 undi sementara Annuar mendapat 23 undi daripada 38 ahli majlis yang mengundi, mewakili 19 gabungan badan induk itu.

Penyandang jawatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan jawatannya sementara Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad tewas dalam pemilihan.

Dua lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden tetapi tewas ialah Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Pada sidang akhbar selepas kongres itu, Tengku Abdullah berkata beliau akan berbincang terlebih dahulu bersama ayahandanya dan barisan kepimpinan baru mengenai misi dan visi FAM.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Hoki Malaysia berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa di antara sukan hoki dan bolasepak.

"Bola sepak tetap di hati," katanya.

Tengku Mahkota Pahang itu sebelum ini pernah memegang jawatan berkenaan pada Februari 1992, namun melepaskannya pada bulan Mac tahun berikutnya.

Beliau bagaimanapun dipilih memegang jawatan itu semula pada Februari 1994 sebelum melepaskannya kembali pada Julai 2007.

Sementara itu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa)berkata beliau mempunyai beberapa idea bagi mempertingkatkan lagi mutu bolasepak di negara ini tetapi terlebih dahulu perlu mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah dan persetujuan ahli majlis FAM.

"Akan ada pendekatan baru bagi tujuan penambahbaikan arena bola sepak negara," katanya.

Bagi jawatan naib presiden, Datuk Afandi Hamzah muncul satunya-satu penyandang yang berjaya mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.

Namun Datuk Subahan Kamal mendahului pemenang yang mendapat undi tertinggi, dengan 28 undi, diikuti Datuk Hamidin Mohd Amin (27 undi), Afandi (20) dan Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd Hashim (19).

Calon yang tewas ialah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk S.Subramaniam, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Datuk Lawrence Gimbang.

Bagi jawatan ahli majlis, seramai 13 calon menawarkan diri bagi mengisi lapan jawatan.

Mereka yang terpilih ialah Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Astaman Abdul Aziz, Mejar Rani Abdul Rahim, S.Sivasundram, Dr Hamdan Mohamed Khalib, Datuk Osman Salleh, Rosmadi Ismail dan Datuk Jeffery Low Han Chau. - BERNAMA


0 comments: