Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Saturday, August 7, 2010

Kopi atau viagra


Kopi turut mengandungi bahan antioksida yang dapat melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan.
PERNAHKAH anda menikmati kopi yang dijual di kedai mamak ataupun di mana-mana gerai dengan harga RM5 hingga RM6 secawan? Tidakkah anda terfikir bahawa harga tersebut jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan harga biasa iaitu sekitar RM1?

Apakah yang membuatkan perbezaan harganya begitu ketara? Adakah disebabkan kopi itu sendiri yang berkualiti ataupun bahan-bahan lain yang dicampur bersama? Jika dilihat daripada senario tersebut, ternyata kopi yang dijual adalah kopi-kopi jenama tertentu yang dikatakan sebagai penguat tenaga batin atau syahwat.

Tetapi sejauh manakah kenyataan tersebut benar dan berasas dengan hanya campuran ekstrak herba tertentu? Ia ternyata menimbulkan kekeliruan orang ramai. Malah bagi mereka yang gemar menikmati kopi ‘power’ yang dikatakan mampu meningkatkan tenaga batin ini, anda dinasihatkan agar berfikir dua tiga kali. Ini kerana selain mengandungi bahan-bahan ekstrak herba tempatan seperti tongkat ali dan kacip fatimah (yang lazim terdapat di dalam kopi segera), ia juga sebenarnya telah dicampur dengan bahan terlarang yang mampu menyebabkan kematian.

Ia diakui benar oleh pakar pemakanan, Norul Hasliza Shams Hashim.

Menurut Norul, kopi ‘power’ yang dirampas di pasaran hari ini bukan sahaja mengandungi ekstrak herba-herba tempatan malah ia turut mengandungi bahan terlarang atau ubat terkawal iaitu Sildenafil. Sildenafil bukan sahaja merupakan sejenis dadah atau ubat yang mahal harganya malah ia juga merupakan bahan terkawal di mana cara pengambilannya perlu mendapat preskripsi, pengesahan, kebenaran serta pengawasan daripada doktor.

Sildenafil biasanya terdapat di dalam Viagra, sejenis ubat yang mampu memberi rangsangan seks kepada sesiapa sahaja yang mengambilnya terutama kaum lelaki. Tetapi pengambilan yang tidak dikawal serta melebihi dos juga boleh mempercepatkan komplikasi kesihatan termasuk kematian jika peminumnya mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung serta buah pinggang. Sildenafil tidak sepatutnya dicampurkan bersama makanan kerana ia merupakan sejenis ubat terlarang. Penggunaannya perlu didaftarkan dan diisytiharkan dengan Biro Pengamalan Farmaseutikal Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan.

Ulas Norul, bahagian penguat kuasa tidak mampu membendung penjualan kopi ‘power’ di pasaran kerana undang-undang di Malaysia sendiri tidak mewajibkan mana-mana pengusaha produk berasaskan makanan mengisytiharkan isi kandungan produk masing-masing. Oleh yang demikian, penguatkuasaan hanya dilakukan sekiranya mendapat aduan daripada orang ramai dan itupun setelah pemeriksaan dilakukan ke atas produk-produk tersebut. Jika dilihat daripada kopi itu sendiri, ia sememangnya mengandungi kafein yang menjadikan peminumnya berasa segar dan sihat. Selain itu, kafein tersebut juga dapat membantu individu-individu yang mengalami masalah penyakit seperti Parkinson dan kencing manis jenis 2.

Terdapat kajian yang menyatakan kopi juga berkemungkinan dapat meningkatkan kesuburan lelaki dengan peningkatan pergerakan sperma (sperma lebih aktif). Bagaimanapun segala kajian yang dilakukan memerlukan lebih penyelidikan untuk membuktikan atau mengesahkan penemuan tersebut.

Tidak dinafikan, kopi yang berasal daripada buah biji kopi yang berwarna kemerahan merupakan minuman yang paling digemari dan dikenali di seluruh dunia. Ini kerana kopi mudah diperolehi selain sudah menjadi satu kemestian atau adat, menjadi ‘sajian’ kepada tetamu.

Jika dilihat daripada kandungan asalnya iaitu kafein, ia merupakan satu struktur kimia ataupun bahan aktif semula jadi yang secara amnya tidak memudaratkan kesihatan sesiapa sahaja yang meminumnya. Ini kerana kafein tadi merupakan bahan perangsang semula jadi dan merupakan bahan makanan yang selamat dan ia telah pun disahkan oleh U.S Food and Drug Administration (USFDA) sebagai Generally Regarded As Safe’ (GRAS). Selain kafein, kopi turut mengandungi bahan antioksida yang dapat meneutralkan radikal bebas dan melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan. Ini kerana kita terdedah kepada radikal bebas hasil semulajadi daripada metabolisma badan daripada oksigen yang disedut dan ia mampu mengundang pelbagai penyakit kronik. Ada juga kajian menyatakan bahawa antioksida yang terdapat di dalam kopi mampu melindungi peminumnya daripada penuaan selain mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan risiko penyakit kanser, penyakit jantung dan juga strok.

Hari ini, kopi yang terdapat di pasaran yang mengandungi pelbagai ekstrak herba sebenarnya adalah untuk memudahkan orang ramai untuk menikmatinya. Ini kerana jika herba-herba tersebut direbus begitu sahaja ia mungkin susah untuk diminum kerana baunya serta rasanya yang pahit dan sekiranya dicampur di dalam kopi ia dapat dinikmati seperti kopi biasa.

0 comments: