BIRMINGHAM:   Presiden Pakistan Asif Ali Zardari menerima lemparan kasut ketika  mengakhiri lawatannya ke Britain dengan menyampaikan ucapan pada satu  perhimpunan politik di sini semalam.
Beliau berhadapan kritikan  dan penunjuk perasaan kerana meneruskan lawatan ke luar negara ketika  Pakistan dilanda banjir teruk yang setakat ini telah mengorbankan lebih  1,500 orang.
Pada perhimpunan itu, seorang lelaki melempar kasut  ke arah Asif tetapi tersasar, sementara di luar Pusat Konvensyen  Antarabangsa di Birmingham, lokasi beliau berucap, polis mengepung lebih  100 penunjuk perasaan.
Asif semalam menyifatkan kunjungannya ke  Britain sebagai berjaya kerana dapat mengumpul beribu-ribu pound  Sterling buat mangsa banjir di Pakistan.
Kira-kira 2,000 hadirin  berkumpul di pusat konvensyen tersebut bagi mendengar ucapan Presiden  itu serta pemimpin-pemimpin lain daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP).
Kunjungan  Asif ke Britain juga penuh ketegangan kerana ia dibuat tidak lama  selepas Perdana Menteri Britain David Cameron menuduh Pakistan ‘membawa  ketakutan’.
Kenyataan Cameron itu membangkitkan kemarahan rakyat  Pakistan dan mengakibatkan tercetus perselisihan diplomatik, kerana  kenyataan itu dibuat ketika kunjungan Cameron ke India.
"Kita  mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Britain dan masalah yang ada  telah diselesaikan dengan bantuan penggubal undang-undang Pakistan,"  kata Asif semalam pada satu perhimpunan di mana poster isterinya yang  mati dibunuh, bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, digantung di  dinding.
Beliau diiringi anak perempuannya, Asifa yang memakai selendang berwarna putih.
Di  luar dewan, sebahagian penunjuk perasaan mengangkat sepanduk tertulis  ‘Amerika Syarikat (AS) keluar dari Pakistan dan Afghanisan’.
Sehari  sebelum itu, anak lelaki Asif yang juga pengerusi bersama PPP, Bilawal  Bhutto Zardari, merayu bantuan untuk mangsa banjir di Pakistan.
Harga barangan keperluan melambung tinggi
Sementara  itu di ISLAMABAD, rakyat Pakistan hari ini bergelut dengan masalah  kenaikan harga buah-buahan dan sayur-sayuran yang melambung tinggi,  berikutan banjir yang memusnahkan sekurang-kurangnya 570,000 hektar  tanaman.
Harga barangan keperluan yang melonjak itu menambah lagi  derita penduduk negara itu yang sudah pun dibelenggu kemiskinan dan  masalah kekurangan makanan sebelum banjir melanda negara ini dua minggu  lalu.
Pakistan bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa  untuk menyelamatkan lebih 100,000 penduduk dan menyalurkan bantuan  makanan serta tempat perlindungan kepada beribu-ribu yang lain.
Namun  kerajaan menghadapi kesukaran untuk menangani bencana sebegitu buruk  yang dianggarkan telah menjejaskan kehidupan 13 juta penduduk.
Keadaan dijangka bertambah buruk kerana Pakistan dilanda hujan lebat lagi hari ini.
"Banjir memusnahkan tanah pertanian dan menghanyutkan tanaman sayur yang sudah sedia untuk dituai.
"Hasil  tanaman yang dapat diselamatkan tidak dapat dipasarkan kerana jalan  musnah dan hubungan komunikasi terputus," kata seorang petani di bandar  Multan, tengah negara ini.
Sekurang-kurangnya 570,000 hektar  tanaman musnah di wilayah Punjab yang merupakan sumber bahan makanan  untuk seluruh Pakistan, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -  AP
Wednesday, August 11, 2010
Presiden Pakistan dilempar kasut
Posted by Suhaimi at 2:20 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment