Saya tidak pergi ke mahkamah pada 5hb Ogos untuk mendengar keputusan Mahkamah Tinggi kerana saya telah pun menjangka bahawa permohonan saya tidak akan dilayani.
Bila seorang hakim membenarkan masa yang secukupnya (3 hari) kepada pihak yang mahu petisyen itu ditolak di atas alasan “teknikal” (supaya kes itu tidak dapat peluang ke peringkat perbicaran sepenohnya, di mana segala butiran dan keterangan yang kita ada dan saksi saksinya akan dibentang), maknanya saya tidak akan berjaya.
Alasan yang diberi ialah saya tidak menyenaraikan nama mereka yang telah menerima rasuah ataupun “bribe” tersebut. Nama-nama mereka ada, dan kita akan ketengahkan saksi-saksi yang kita ada semasa perbicaraan.
Tetapi mulakanlah perbicaraan itu. Mengapa takut sangat didengar keterangan pihak kami? Kalau pihak kami tak berjaya membuktikan selepas perbicaraan barulah sepatutnya permohonan ditolak. Apa perlu tolak awal awal lagi? Alasan sebenar ialah mereka perlu melindungi ‘The Great PM’ dari disoal oleh peguam kami. Mana boleh PM datang ke Mahkamah?
Lagipun ada banyak macam kes “election bribery.” Bila kita membuat aduan spesifik bahawa calon A menawarkan duit untyuk B dan C mengundinya, memanglah kita patut senarai dalam petisyen nama B dan C.
Tetapi inilah kali pertama kita ada PM yang membuat tawaran rasuah secara terbuka kepada orang ramai. Inilah kes “general bribery” yang mustahil dapat kita senarai semua nama-nama mereka yang ditawarkan wang tersebut.
Mengikut keputusan ini, katakanlah kalau PM memberi ucapan melalui RTM1 pada kempen pilihanraya Sarawak nanti, dua hari sebelum mengundi, berucap kepada semua rakyat Sarawak bahawa mereka akan diberi Amanah Saham percuma sebanyak 1000 unit kalau BN menang, siapa-siapa yang mahu membawa kes itu ke Mahkamah mestilah menyenaraikan nama 2 juta penduduk Sarawak!
Mahkamah juga berkata kita yang membawa permohonan mesti membuktikan bahawa mereka mereka yang menerima rasuah ini: rasuah yang ditawarkan meyakinkan mereka membuat undian untuk BN. Ini satu lagi syarat yang paling luar biasa dalam dunia ini. Bagaimanakah kami akan buktikan niat pengundi sebelum perbicaraan bermula? Lagipun soalan seperti “Kamu undi siapa semasa piliharaya? “ tidak dapat disoal semasa perbicaran kerana undi itu sulit. Akta Kesalahan Pilihanraya tidak membenarkan kita bertanya soalan itu. Tetapi Hakim terus menetapkan syarat sedemikian.
Saya juga disalahkan kerana tidak mengeluarkan ucapan Najib sepenuhnya dalam petisyen. Kami bercadang untuk membentang rakaman ucapan itu semasa perbicaraan tetapi peluang tidak diberi. Inilah cara BN menang dalam segala hal.
Ada yang bertanya sama ada saya akan membuat rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan. Saya tidak akan berbuat demikian kerana kita akan mendapat keputusan yang sama. Saya tidak mahu membuang masa kawan kawan saya Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ang Hean Leng yang menawarkan khidmat guaman secara percuma dalam mengejar keadilan. Saya ingin ucapkan terima kasih di atas segala sumbangan mereka.
Satu hari nanti, kita akan berjaya.
Friday, August 6, 2010
Zaid Ibrahim: Mengapa Petisyen Saya Ditolak
Posted by Suhaimi at 12:52 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment