Oleh keranacinta.wordpress.com
Suatu hari, Tok Guru menghadiri majlis jamuan. Seorang lagi tokoh agama di negeri Kelantan duduk bersebelahan Tok Guru.
Sebaik hidangan diangkat, tokoh agama itu segera menyuapi makanan di depan mata. Telah beberapa suap dia makan namun Tok Guru di sebelah hanya diam tanpa menyentuh makanan.
Tokoh agama itu bertanya Tok Guru kenapa beliau belum juga menyentuh makanan.
Tok Guru menjawab bahawa dia teringatkan rakyatnya yang tiada makanan. Mungkin di saat dia makan itu, ada rakyat yang kelaparan.
Tokoh agama itu tersentuh hatinya dengan jawapan Tok Guru. Dia lantas menangis teresak-esak di sisi Tok Guru. Tokoh agama itu juga seorang YB namun dia terasa betapa berbeza dirinya dengan Tok Guru. Begitu halus perasaan Tok Guru pada rakyatnya.
************
Saya peminat kuliah Tok Guru dan tokoh agama itu (yang saya tidak sebut nama) sejak awal remaja. Saya sering mengikut Ma dan Abah ke kuliah-kuliah mereka di masjid-masjid. Saya mengenali dan dapat rasakan kelembutan hati tokoh agama itu lewat kuliahnya yang menyentuh rasa. Saya juga cinta dan rindu pada nasihat dan kalam ulama seperti Tok Guru. Bila mengetahui kisah di atas yang disampaikan oleh seorang ulama muda yang hafiz pula, saya agak tersentak juga. Dalam saya mengagumi kedua ulama itu, rupa-rupanya masih wujud perbezaan yang ketara di antara keduanya.
Saya tidak bermaksud merendahkan tokoh agama yang saya tidak sebut namanya itu. Bahkan saya mahu tonjolkan betapa hati dan jiwa Tok Guru yang sangat akrab dengan peribadi Rasulullah s.a.w. Itulah yang tersirat di sebalik amanah maha berat yang dibebankan Allah pada Tok Guru sebagai Mursyidul Am sebuah gerakan Islam di Malaysia.
Tok Guru berusaha sedaya upaya yang mampu mencontohi Nabi Muhammad s.a.w dalam segenap aspek. Pada peribadi, hubungan dengan anak isteri dan hubungan dengan orang ramai.
Tahukah saudara-saudariku? Dalam kempen sekelompok Melayu yang tidak mahu Islam di Manik Urai sekarang yang mahu menjatuhkan peribadi Tok Guru itu, hati Tok Guru sentiasa risau dan bimbang tentang keselamatan mereka di dunia dan akhirat.
Tahukah saudara-saudariku? Antara amanah sebagai Menteri Besar dan Mursyidul Am, Tok Guru merasa sangat berat dengan amanah sebagai Mursyidul Am. Ia bukan calang-calang tanggungjawab. Tanggungjawab memimpin roh dan akal manusia menuju Allah. Tanggungjawab mendekatkan manusia kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi dan yang hanya berhak disembah di dunia ini secara mutlak.
Pandangan Tok Guru bukan sekadar terhenti di dunia, bahkan merenung jauh ke akhirat. Tok Guru tidak mempunyai Syafaat Kubra seperti Nabi Muhammad s.a.w untuk membantu rakyat dan umat Islam di Malaysia khususnya. Tok Guru hanya mampu menyampaikan ilmunya pada kita dan memberi peringatan demi peringatan agar kita bersedia menghadapi hari hisab di akhirat kelak.
Kasih Tok Guru kepada kita sebagai rakyat dan ummah amat besar sekali. Justeru itu hati Tok Guru tidak lekang dari Allah. Bagaimana bisa Tok Guru mewarisi amanah para nabi dan rasul ini jika Tok Guru tidak cuba memiliki hati para nabi dan rasul?
Kalian dapat lihat pada khusyuk dan tawaduknya Tok Guru… bak kata seorang anak usrah saya, “Tengok wajah Tok Guru pun sudah rasa insaf”. Apa yang kita nampak di sebalik khusyuknya sosok yang disegani ramai ini? Iya…jawapannya hanya satu… sifat MURAQABAH pada seorang ulama bertaqwa.
MURAQABAH ialah merasa Allah itu hadir dan hati seolah-olah dapat melihat Allah yang maha melihat. Justeru hamba yang mencapai tahap ini merasa dirinya bagai dipenjara di dunia fana. Setiap tindakan dan percakapan perlu diperhalusi adakah akan mendapat reda Allah atau murkaNya.
Jika kita sayangkan Tok Guru, sukakah kita melakukan perkara yang dapat menggembirakan hati Tok Guru? Lakukan sesuatu dengan meletakkan Allah dan Rasul di hadapan kita. Jiwa Tok Guru akan tenang jika setiap rakyatnya mendahulukan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Bila melihat peribadi Tok Guru, saya teringat pujian Allah pada Nabi Muhammad s.a.w dalam surah al-Taubah ayat 128,
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
Ayat 129, “Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.”
Ya Allah… kembalikan kami kepadaMu dengan rahmatMu sebagaimana Engkau menghidupkan kami dengan belas kasihanMu.
Hamba yang faqir,
Ummu Abbas
0 comments:
Post a Comment