Oleh Metro Online
KUALA LUMPUR: Seorang gadis yang dilamar untuk berkahwin akhirnya menjadi mangsa tipu seorang lelaki ‘warak’ yang menggunakan himpunan kata pedoman serta doa ayat suci di Internet untuk memikat mangsa supaya menyerahkan wang.
Lelaki itu yang kerap tampil berserban selain tidak lekang bibirnya mengungkap himpunan hadis menyebabkan ramai gadis mudah jatuh cinta kerana menyangka dia benar-benar alim dan boleh dipercayai. Namun, mangsa yang dijerat melalui laman sosial Facebook atau Tagged hanya menyedari niat sebenar suspek ‘romeo Internet’ itu selepas wang dalam akaun mereka ‘disedut’ sedikit demi sedikit.
Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Lin, 30-an, berkata, taktik itu menyebabkan dia rugi hampir RM20,000 tunai selepas diperdaya menyerahkan nombor akaun bank kepada lelaki berkenaan. Katanya, dia mengenali lelaki itu melalui laman sembang Internet dan tertarik dengan personalitinya yang kerap melontarkan nasihat berbentuk keagamaan selain bijak memberikan tazkirah berhubung masalah hidup. “Buah fikiran bernas diselangi doa menyebabkan saya tertarik dengan tanggapan dia lelaki matang dan benar-benar mahu membantu wanita bermasalah,” katanya.
Katanya, lelaki itu dikenali sebagai Abdullah, 30-an, menawarkan diri membantu menyelesaikan masalah dihadapinya terutama membabitkan ansuran tertunggak rumah dan kereta. “Saya bersetuju menemuinya di kawasan rawat dan rehat Sungai Buloh buat kali pertama selepas saling berbalas e-mel dan SMS sejak beberapa bulan lalu. “Pertemuan kali pertama itu menyebabkan hati saya berdegup kencang apatah lagi dengan penampilannya berjubah selain wajahnya yang agak kacak. Lebih memeranjatkan apabila dia tanpa segan silu meluahkan perasaan kononnya jatuh cinta terhadap saya pada pandang pertama. “Dia kemudian merayu dan meminta saya menerima cintanya sambil menyatakan hasrat mengahwini saya dalam tempoh terdekat,” kata mangsa ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam. Katanya, dia benar-benar terkejut dengan lamaran mendadak itu apatah lagi menyedari mereka masih di peringkat awal perkenalan dan baru bersua muka.
“Ini menyebabkan saya dibuai perasaan, ditambah dengan kesungguhannya mahu melangsaikan semua hutang rumah saya di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, yang mencecah RM50,000. “Kebaikan ditunjukkannya menyebabkan saya tambah jatuh hati apatah lagi selepas kerap diberi tazkirah agama berikutan dia mengaku pernah menjadi guru agama. “Malah, dia kerap bertanya saya sama ada solat lima waktu saya cukup atau sebaliknya,” katanya. Menurutnya, pada masa sama ‘teman lelakinya’ itu memintanya menyerahkan nombor akaun bank dan angka laluan rahsia sistem perbankan dalam talian miliknya.
“Dia memberi alasan bahawa itu untuk bagi memastikan perbelanjaan kewangan saya dapat diselaraskan selain dipantau bagi mengelak pembaziran. “Namun, dakwaan asalnya untuk menguruskan kewangan saya menjadi sebaliknya apabila wang dalam akaun bank saya ‘disedut’ sedikit demi sedikit. Malah, surat gadaian barang kemas saya turut diambil dan ditebus tanpa pengetahuan saya,” katanya.
Menurutnya, dia turut rugi apabila RM3,000 tunai yang diberikan untuk upah haji turut dikebas lelaki berkenaan selain wang simpanannya mencecah RM20,000. “Saya pernah bertanya berhubung kehilangan wang itu namun dia memberi pelbagai alasan tidak munasabah. Malah, janjinya untuk berkahwin dalam tempoh terdekat hanya omong kosong,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi, di sini.
Lin berkata, dia terkejut apabila beberapa mangsa lain di laman sembang sosial di Internet juga mendakwa ditipu lelaki sama.
0 comments:
Post a Comment