Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Sunday, April 21, 2013

Ibrahim Ali seperti 'ayah' - kata Che Johan


Che Johan Che Pa - calon BN bagi Parlimen Pasir Mas yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya pagi tadi - berkata beliau menarik diri bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru, yang akan menyebabkan peluang BN meraih kerusi itu tipis.
   
"Saya mengambil langkah untuk menarik diri... lebih-lebih lagi saya akan bertanding melawan Datuk Ibrahim Ali yang juga semua orang anggap seperti ayah dengan anak, sebagai mentor politik.
   
"Kalau saya mengambil keputusan meneruskan juga maka kedua-dua kami akan terkorban kalah dalam pilihan raya kali ini," katanya.
   
Che Johan berkata walaupun berat hati untuk membuat keputusan sedemikian, namun langkahnya itu demi kepentingan BN dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada kerajaan PAS.
   
Che Johan berkata beliau sedia berjumpa dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjelaskan sebab beliau mengambil tindakan mengejut itu, dan  akan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan nanti.

Beliau juga meminta supaya semua penyokong BN terus bekerja keras dan memastikan kerusi Parlimen Pasir Mas dimenangi oleh Ibrahim yang didakwanya 'rakan BN'.
   
Ibrahim pula berkata beliau terkejut dengan tindakan Che Johan menarik diri dan tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon.
   
"Kedudukan ini lebih meyakinkan saya untuk memenangi kawasan itu di samping menumbangkan PAS di kawasan ini," katanya.
   
Ibrahim turut menafikan wujud konsprirasi di sebalik keputusan Che Johan untuk menarik diri.
   
"Saya difahamkan Che Johan hadir ke dewan penamaan calon dengan membawa borang dengan penuh persediaan cuma tidak menyerahkan borang sehingga tempoh penamaan calon tamat," katanya.
   
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Che Johan yang dikenali sebagai 'anak buahnya' dalam politik, terhutang budi dan mahu  memberi laluan mudah kepadanya.
   
Ibrahim memenangi kerusi tersebut pada 2008 atas tiket PAS dengan mengalahkan calon BN Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 8,991 undi.- Bernama

0 comments: