Wajib sokong Morsi - Dr Yusuf al-Qaradawi HOME

Wednesday, April 10, 2013

Menilai 5 tahun kepimpinan Ahmad Said

Oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad

Suasana politik di negeri Terengganu kembali menjadi ‘panas’ dengan pelbagai spekulasi tentang calon dan parti yang akan memacu kepimpinan negeri selepas pilihanraya umum (PRU) akan datang ini. Datuk Seri Ahmad Said telah awal-awal lagi menolak spekulasi dan khabar angin kencang bahawa beliau tidak lagi akan dicalonkan dalam PRU13 ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, berkata; "Takkanlah saya nak serah tanpa bubuh (letak) nama sendiri. Perkara ini tidak logik sebab saya sendiri sudahpun berbincang dengan PM…".

Namun cakap-cakap politik kebanyakan rakyat Terengganu bahawa Ahmad Said akan digugurkan pada PRU ke 13 ini terus bertiup kencang. Mantan Adun Kijal itu telah diberikan mandat untuk memimpin kerajaan negeri sejak lima tahun lalu setelah berlakunya krisis kepimpinan Umno dengan pihak istana bagi melantik menteri besar. Beliau dianggap sebagai mantan menteri besar paling ‘kontroversi’ dalam sejarah Malaysia kerana perlantikan jawatan MB ini.

Rakyat Terengganu kini boleh menilai sendiri 5 tahun pentadbiran Terengganu di bawah kepimpinan beliau. Ramai yang menimbulkan persoalan, apakah beliau akan terus diberikan lagi kepercayaan mentadbir Ganu Kite sekiranya Umno/BN dapat memenangi majoriti kerusi DUN? Bagaimanakah bentuk ‘report card’ beliau sepanjang 5 tahun menjadi MB ini? Adakah beliau patut diberikan markah ‘cemerlang’, ‘lulus’, atau ‘gagal’ untuk pretasi sepanjang pentadbiran beliau ini?  Mari kita amati fakta-fakta di bawah;

1. Negeri Terengganu sepanjang 5 tahun di bawah pentadbiran Ahmad Said, telah melaksanakan ‘perbelanjaan amat luar biasa’. Bajet kerajaan negeri telah mencecah hampir RM10 billion dengan defisit tahunan hampir RM200 juta setiap tahun. Bermula dari tahun 2008, negeri Terengganu telah mencatatkan bajet tertinggi berbanding seluruh negeri di Semananjung Malaysia dengan perbelanjaan lebih RM2 bilion setiap tahun. Perbelanjaan ini jauh mengatasi negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Persoalannya, apakah ini telah memberi manfaat kepada rakyat Terengganu yang rata-rata masih terpaksa bergelut dengan kehidupan harian yang amat mencabar?

2. Antara perbelanjaan yang dilakukan oleh beliau, bermula dari tahun 2009 ribuan warga Terengganu diberikan kotak-kotak kurma dan air zam zam secara percuma yang diedar melalui JKKK setiap kampong. Program ini melibatkan kos berjumlah hampir RM 8 juta setiap tahun dimana kontraknya diberikan kepada kroni. Persoalannya apakah pemberian buah kurma dan air zam zam ini suatu yang wajar sedangkan masih terdapat keutamaan lain seperti membantu golongan miskin di negeri Darul Iman ini. Di kalangan adun-adun UMNO sendiri ada bersungut akan kosnya yang terlalu tinggi dan pembaziran yang ketara.

3. Kerajaan negeri telah membeli stesen Radio Manis FM yang berpengkalan di Kota Bahru berharga RM 7 juta. Stesen radio ini pada asalnya merupakan stesen Radio KADA milik Tan Sri Hussein Ahmad yang diberi lesen radio melalui Husa Network Sdn Bhd. Proses mengambilalih stesen berkenaan telah dilakukan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu (LTAT) pada pertengahan tahun 2009. Ramai di kalangan rakyat Terengganu mempersoalkan apa rasional kerajaan negeri membeli stesen radio ini, sedangkan ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.

4. Kerajaan negeri telah  membina projek tempat letak kereta bertingkat menggunakan sistem putaran di Jalan Batas Baru hasil teknologi yang dibawa masuk dari China yang dikatakan yang projek pertama di Malaysia telah menelan belanja hampir RM10 juta. Namun projek ini menimbulkan kesangsian rakyat Terengganu. Apa tidaknya, selain tidak praktikal, kos pembinaannya yang menelan belanja hampir RM10 juta serta kos pengoperasian yang terlalu tinggi sehinggakan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terpaksa menghantar kakitangannya ke negara China bagi menguasai pengendalian operasi sistem itu kelak.

5. Projek Pembangunan Tasik Kenyir yang melibatkan kos lebih RM300 juta dengan perbelanjaan yang  melibatkan pembinaan seperti;
- Taman Anggur – RM 3 juta
- Taman Rambutan – RM2 juta
- Taman Orkid – RM 4 juta
- Pusat Santuari Gajah Sungai Deka – RM40 juta
- Kenyir Water Theme Park – RM80 juta
- Pusat Bebas Cukai – RM80 juta

Bagi projek Taman Burung pula, seekor itik yang diimport dibeli dengan harga  RM1,700 manakala seekor angsa berharga RM5,600. Peruntukkan untuk Taman ini menelan belanja lebih RM6 Juta. Lebih melucukan lagi, sebanyak 5 ekor itik teah mati semasa dalam penjagaan di Kolam rekreasi Rawit, Kenyir. Bukankah lebih baik RM6 juta dibelanjakan untuk rakyat Terengganu  berbanding untuk beberapa ekor itik dan angsa? Siapa sebenarnya yang mendapat habuan daripada projek ini?

6. Taman Rekreasi dan Mini Zoo di Bukit Takal Kemaman yang bernilai hampir RM100 juta dan dikendalikan oleh sebuah syarikat konsultan Global Wildlife Immersion Sdn Bhd, yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Setakat in kerajaan negeri telah berbelanja lebih RM50 juta bagi membeli dan menjaga binatang seperti gajah, harimau, kerbau serta monyet-monyet yang berkeliaran. Persoalannya, mengapa begitu banyak dibelanjakan untuk binatang-binatang ini, sedangkan ianya boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai peluang pekerjaan untuk anak-anak negeri Terengganu.

7. Stadium Sultan Mizan yang runtuh bersama lebih RM300 juta duit rakyat Terengganu. Projek Mega ini adalah hasil warisan bekas mantan Menteri Besar Dato Seri Idris Jusuh, dan telah diserahkan perlaksanaannya kepada 3 ’kontraktor kroni’ utama iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd. Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk ’Space Frame’ ini adalah syarikat SOWON PTE. LTD. yang didatangkan khas dari Korea Selatan. Proses baikpulih yang mengambil masa begitu lama dianggarkan akan menelan belanja lebih RM120 juta.

Namun, persoalan besar yang kini menjadi tanda-tanya semua rakyat Terengganu kini adalah, pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih yang sangat membebankan ini? Ke manakah pula perginya kontraktor-kontraktor kroni yang rapat dengan pimpinan Umno Terengganu setelah mereka mengaut keuntungan  berjuta hasil dari pembinaan Stadium yang runtuh ini? Apakah jumlah keseluruhan RM120 juta ini telah termasuk kos membeli semula kelengkapan stadium yang dianggarkan bernilai RM50 juta yang telah dicuri  pada awal tahun 2012?

8. Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di bina walaupun kosnya telah melambung dari RM2.7 bilion kepada hampir RM5 bilion. Rakyat Terengganu terpaksa menanggung bebanan kenaikan kos yang sangat tinggi bagi menyiapkan projek LPT 2 yang tertangguh ini. Bayangkanlah berapa kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri dengan kelewatan yang berlanjutan dari tahun 2012 kepada tahun 2014? Persoalan besar yang timbul adalah, kenapa projek yang pada asalnya menelan belanja lebih RM2.7 billion ini amat jauh tersasar dari tarikh jangka siap iaitu pada tahun 2010 lagi. Pihak manakah pula yang akan menanggung semua kos tambahan akibat kelewatan yang amat ketara ini?

9. Isu tanah di Kuala Terengganu juga menjadi perbualan semua pihak. Kini satu demi satu tanah dan perkampungan Melayu terhakis dek kerana kerakusan ’pembangunan’ dan tiada perancangan rapi yang dibuat. Lebih malang lagi perkampungan tradisi Melayu satu persatu ’hilang’, dari Kampung Paya Keladi, Kampung Tanjung serta Kampung Ladang yang terus meletakkan orang-orang Melayu  Terengganu ’ibarat menjadi pelarian di bumi sendiri’. Lebih mencabar lagi, kerajaan UMNO amat berani membahagikan-bahagikan tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO menjelang PRU13 ini, sedangkan pada waktu yang sama ribuan lagi rakyat Terengganu yang miskin masih tidak mempunyai sebarang tanah walau sekangkang kera!

10. Kerajaan Terengganu secara senyap-senyap telah menggugurkan saman dan tindakan undang-undang terhadap Petronas bersabit bayaran royalti minyak yang difailkan 11 tahun yang lalu. Bagaimanapun, hingga kini tiada butiran lanjut mengenai penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara kerajaan Terengganu dengan Petronas dan kerajaan Persekutuan dalam permohonan yang difailkan 21 Mac tahun 2012.

Jelas, penarikan royalti minyak oleh Kerajaan Pusat daripada kerajaan Terengganu itu merupakan satu pencabulan kepada prinsip demokrasi, konsep federalisma serta melanggar perlembagaan negara ini. Wang royalti yang merupakan hak rakyat Terengganu ini diletakkan di bawah ‘Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan’ dan disalur terus kepada pemimpin Umno negeri. Sepanjang Terengganu di’ehsankan’, mereka telah berbelanja semewah-mewahnya dengan pelbagai projek membazir seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal, pembinaan Stadium yang runtuh serta pelbagai pembaziran lain yang dilakukan.

11. Terbaru, Mantan Menteri Besar  Ahmad Said merancang untuk merobohkan Pasar Payang Kuala Terengganu yang merupakan pasar warisan puluhan tahun orang-orang Melayu berniaga dengan merancang untuk menggantikannya dengan Hotel lima bintang dan kondominium bernilai lebih RM400 juta. Projek ini diserahkan kepada sebuah syarikat bukan bumi yang juga kroni yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Apakah kesemua projek-projek ’pembangunan rakyat’ ini benar-benar untuk kepentingan rakyat atau untuk terus memperkayakan kroni-kroni Umno? Rakyat Terengganu bolehlah menilai sendiri prestasi Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Ternyata prestasi Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar adalah di grade ’F’ atau gagal terus. Kini kuasa adalah ditangan rakyat untuk melakukan perubahan yang besar. Marilah kita sama-sama tiupkan semangat rakyat Terengganu dengan berslogankan ’UBAH TERIK NI, Selamatkan Ganukite’.

0 comments: